Posted by Unknown

"..DARI SEBUAH RASA.."
..Cinta Itu Ada..

...Situasi 4...


"..CINTA.. Cinta itu adalah alam di mana seorang insan akan menjadi lupa dan tidak peduli kepada segalanya kecuali terhadap apa yang dicintainya. Karam sehingga tak pernah peduli kehilangan apa saja termasuk nyawanya. Karam dalam lautan bahagia cinta yang menjadi penghubung cinta antara dua rasa. Karam dalam samudera hati yang tak akan pernah dipertemukan pantai penghujungnya. Justeru janganlah sesekali menolak cinta, kerana cinta adalah hakikat.., kerana cinta menyeliputi segala yang ada. Dan tanpa cinta nescaya semua ini tidak ada..., kerana CINTA itu ada.."

Dingin malam ini tidaklah sedingin hati ku. Bah kan kedinginan apa pun tidak akan pernah dapat untuk menandinginya. Kerana kedinginan hati ku saat ini adalah kedinginan kasih.., kedinginan rindu syahdu.., dan kedinginan cinta. Aku tidak pernah memaksa sesiapa untuk mempercayai dan meyakininya, bah kan aku tidak akan pernah memaksa Sang Permaisuri ku untuk merasakannya. Sungguh, aku sangat percaya bahawa cinta itu adalah anugerah yang hanya Tuhan bisa menghidupkannya di dalam hati manusia. Justeru untuk apa sebuah pemaksaan, dan untuk apa memperdagangkan?

Ketika aku menulis di sini, Sang Permaisuri ku sedang berjuang di medannya. Dia sungguh tabah.., sungguh yakin dengan apa yang dilakukannya. Aku? Aku masih tetap berjalan sebagai seorang penulis marhaen.., penulis kecil yang hanya berbekalkan cinta, kasih dan sayang di dalam hati. Adakalanya aku bertanya sendiri, siapa aku untuk mendekati seorang Sang Permaisuri yang hidupnya jauh lebih baik dan sempurna dari ku?

Cinta itu ada.., walaupun aku tahu bahawa suatu saat nanti aku mungkin harus melupakannya. Atau aku akan terus terbenam dalam sebuah rasa bahagianya derita yang bukan aku cipta. Kerana rasa itu bangun dengan tanpa kehendak ku. Dan aku tiada pernah berdaya untuk melawan atau menahannya. Hukumlah aku kerana adanya cinta itu. Hukumlah aku kerana cinta yang bangun dalam hati ku. Hukumlah aku wahai Sang Permaisuri.., hukumlah cinta ini jika itu yang diingini.

Dan malam ini, aku menatap langit yang tanpa bintang-bintang penghias. Sayu, hati ku sayu. Sayu kerana ketika Sang Permaisuri ku sedang berjuang di medannya, aku hanya mampu duduk di meja tulis ku dan berdoa agar semuanya terpelihara dan baik-baik saja. Hanya itu yang aku mampu saat ini.., hanya itu yang aku tahu. Dan cinta itulah yang mendorongnya, kerana cinta itu ada dan menyeliputi. Cinta itu cahaya yang menyuluh segala yang dilakukan ini.

Sudah larut malam. Kepala dan kaki ku merasa sakit kerana pulang tadi petang dengan hanya berjalan kaki sejauh lebih dari 11 kilometer. Sesekali begitu, hati ku merasa tenang kerana tidak terikat dengan apa pun kecuali bebas dan lepas. Sakit kepala dan kaki pun tak dapat menimbulkan rasa penyesalan dalam hati ku. Kerana cinta ini lebih besar nilai dan nikmatnya dari segala rasa dan rupa apa pun. Rasa ini adalah rasa cinta yang tidak tersentuh apa pun kecuali cinta semata. Dan aku bahagia dengan cinta ini.., cinta ini adalah penawarna ketika rindu ku hadir menderitakan rasa hati.

"..CINTA.. Cinta itu tetap ada walau sekuat mana pun manusia menafikannya. Kerana cinta adalah asbab kepada segala yang nyata dan tersembunyi.., kerana cinta adalah cahaya yang menerangi segala kegelapan.., kerana cinta, manusia dapat merasai nikmat berkasih sayang. Kerana CINTA.."

Cinta ini melahirkan sebuah puisi;

"..WAHAI PENCINTA.."

Wahai Pencinta-
janganlah engkau terleka-
pada bisikan nafsu mu menggila;
kerana itulah musuh mu yang nyata.

Suara-suara hati rahsia-
yang tak terpedulikan dalam jiwa;
adalah tanda kebinasaan manusia.

Bertawakallah wahai seluruh para pencinta;
biarkan sabar memenuhi dada;
nanti kan damai menyeliputi rasa;
itulah jalan sejahtera bahagia.

Paduan nafas di kemuncak sulbi-
adalah ruang hidup dan mati;
di sanalah tersimpan kehidupan ini;
sebelum nanti dijemput kembali.

Wahai Pencinta-
yang merunduk dalam cahaya;
ka'abah terbuka di dalam dada;
jangan sekali engkau menutupnya.


...bersambung...

This entry was posted on Jumaat, 27 Januari 2012 at 1:01 PG . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan