Posted by Wanji Zain

"..SE-MALAM.."
Puisi : Anak Jawi


Berkaca genangan airmata hati-
ketika terpejam basyar zahiri;
merasa dalam alir nafas abdi-
terbukalah pintu rahsia tajalli.

Cinta tidak akan dikecapi-
ketika rindu tidak menyeliputi;
rindu tidak pernah dirasai-
ketika hati tak pernah mempeduli.

Se-malam,
ketika nafas sesak mematikan gerak;
fikir terkotak dalam suara tempelak;
gumpalan tangis - meraung melalak.

Se-malam,
ketika rindu memburai terselak;
bicara cinta melaungkan sorak;
di pinggir hati - segalanya nampak.

Siapakah yang berbicara itu?
ketika diam segala kalam maknawi-
meneroka ke seluruh samudera as-sirri;
di dasar karam tempat bersembunyi.

Siapakah yang merasa itu?
ketika lebur segala perasaan-
meroboh angan dan juga khayalan;
di alam tiada yang bernama insan.

Se-malam,
yang karam adalah aku;
terkujur di hujung rindu;
sehingga cinta mengizinkan bertamu.

Se-malam,
adalah ruang kedamaian ku;
musnah roboh segala celaru;
dalam saksi yang berbalut rindu.

Di manakah - se-malam itu?


Nukilan;
Pondok Anak Jawi
28 Januari 2012

 

Posted by Wanji Zain

"..DARI SEBUAH RASA.."
..Sakit Bukan Penghalang Rindu dan Cinta..

...Situasi 5...


Malam semakin pekat. Rindu terhadap Sang Permaisuri semakin mencengkam keras dalam hati dan perasaan ku. Fikiran ku melayang jauh dan mendesak urat-urat kepala ku, berdenyut seperti hati ku yang sedang merindukannya. Entah mengapa, Sang Permaisuri terus membisu. Entah mengapa, Sang Permaisuri seperti ingin menjauhi ku. Marah. Aku tahu Sang Permaisuri bimbang dengan keadaan ku saat ini. Aku tahu Sang Permaisuri sedang mendesak ku untuk tidak mengabaikan diri ku. Aku tahu itu, namun aku belum mampu melawan fitrah ku.

Aku menyelam ke dalam hati ku dan bertanya, salahkah aku..? Salahkah aku merindukan Sang Permaisuri ku..? Salahkah aku mengharapkan kebahagiaan dan kesejahteraan untuk Sang Permaisuri ku..? Salahkah aku menanggung kesakitan ini, demi melihat Sang Permaisuri ku terus melangkah tenang di dalam wadahnya tanpa ragu..? Salahkah aku..? Dan salahkah aku..?!!

Aku ini hanyalah seorang marhaen yang berjalan dengan Cinta, Kasih dan Sayang. Aku tak mengenal sakit, dan aku tak mengenal istirehat. Mungkin itu salah ku, tapi kesalahan itu demi sebuah rasa yang meresap dalam ke dalam jiwa ku. Rasa yang hadir dengan tanpa pinta ku, rasa yang hidup dan menghidupi ku. Rasa! Ia adalah rasa yang tak siapa pun dapat melihatnya. Ia adalah rasa yang dirasai oleh yang merasainya. Rasa!!!

Di keheningan subuh yang datang, ketika kesakitan ku semakin menyerang, bagi rindu dan Cinta itu bukanlah penghalang. Saat itu, ketika Sang Permaisuri bertanyakan tentang Cinta, hati ku tersentuh rasa dan membiarkan genangan airmata mengalir bahagia dalam sejahtera. Indahnya tak dapat ku khabarkan walau dengan karangan seribu bahasa dan kata sebagai jawapan. Alangkah indahnya jika Sang Permaisuri berada di sisi, melihat dan merasai sendiri apa yang sedang aku kalami. Melihat dan merasakan sendiri betapa Cinta itu sebenarnya ada dan berdiri sendiri. Melihat dan merasai, betapa syahdunya cahaya Cinta itu yang penuh rahsia tersendiri.

Kosong. Itu jawapan Sang Permaisuri saat aku bertanyakan kepadanya tentang apa yang dirasa. Aku tahu Sang Permaisuri sedang keliru dan merasa pilu. Aku tahu Sang Permaisuri sedang mencari sesuatu yang selama ini tidak pernah dikecapinya di dalam rasa qalbu. Aku tahu, dan aku pun menangis syahdu. Dan tangisan kali ini adalah buat Sang Permaisuri yang ku rindu. Tangisan ini tanpa suara dan tanpa huruf kata, kerana tangisan ini adalah tangisan sang pejalan masa. Tangisan pejalan masa yang hanya mengenal Cinta, Kasih dan Sayang di dalam hidupnya. Dan aku, si Marhaen ini, adalah pejalan masa itu. Aku adalah pejalan masa yang sedang berselimut suka dan duka, bahagia dan derita. Kerana aku adalah si Marhaen yang menggalas Cinta, kasih dan Sayang itu.

"..Sayang.., sayang di mana..?" tanya ku.

"..Ada kat dalam hati sayang.." jawab Sang Permaisuri Cinta.

"..Sayang.., sayang di mana..?" tanya ku lagi.

"..Sedang mengalir dalam darah sayang.." balas Sang Permaisuri Rindu.

Sang Permaisuri bertanya, "..Sayang.., Cinta itu apa dan bagaimanakah Cinta itu..?".

Jawab hati ku, "..Sayang.., Cinta itu ada.. Cinta itu menyelimuti dan menyeliputi.. Cinta itu adalah cahaya yang menyuluh semua rasa hati.. Cinta itu menyuluh kasih, sayang, roh dan budi.. Cinta itu adalah as-sirri.. Jika sayang menginginkan sebuah kebahagiaan, cukuplah Cinta itu berada di dalam hati sayang.. Kerana selain Cinta, tidak ada yang kekal dan abadi.. Dan sayang harus membenarkan Cinta itu menyelimuti dan menyeliputi hati dan diri sayang.. Dengan begitu, sayang akan dapat melihat hakikat kehidupan dan hakikatnya dunia ini......."

Hening dan bening subuh ini menjadi saksi.. Dan angin nafas ini menyeruakkan seribu erti.. Sedang si Marhaen ini masih bersendirian lagi..., menanti hadirnya Sang Permaisuri...... Apakah itu akan terjadi..? Dalam denyut kesakitan ini, aku masih terus menanti........... Kerana kesakitan, bukanlah penghalang RINDU dan CINTA.........


...bersambung...

 

Posted by Wanji Zain

"..DARI SEBUAH RASA.."
..Cinta Itu Ada..

...Situasi 4...


"..CINTA.. Cinta itu adalah alam di mana seorang insan akan menjadi lupa dan tidak peduli kepada segalanya kecuali terhadap apa yang dicintainya. Karam sehingga tak pernah peduli kehilangan apa saja termasuk nyawanya. Karam dalam lautan bahagia cinta yang menjadi penghubung cinta antara dua rasa. Karam dalam samudera hati yang tak akan pernah dipertemukan pantai penghujungnya. Justeru janganlah sesekali menolak cinta, kerana cinta adalah hakikat.., kerana cinta menyeliputi segala yang ada. Dan tanpa cinta nescaya semua ini tidak ada..., kerana CINTA itu ada.."

Dingin malam ini tidaklah sedingin hati ku. Bah kan kedinginan apa pun tidak akan pernah dapat untuk menandinginya. Kerana kedinginan hati ku saat ini adalah kedinginan kasih.., kedinginan rindu syahdu.., dan kedinginan cinta. Aku tidak pernah memaksa sesiapa untuk mempercayai dan meyakininya, bah kan aku tidak akan pernah memaksa Sang Permaisuri ku untuk merasakannya. Sungguh, aku sangat percaya bahawa cinta itu adalah anugerah yang hanya Tuhan bisa menghidupkannya di dalam hati manusia. Justeru untuk apa sebuah pemaksaan, dan untuk apa memperdagangkan?

Ketika aku menulis di sini, Sang Permaisuri ku sedang berjuang di medannya. Dia sungguh tabah.., sungguh yakin dengan apa yang dilakukannya. Aku? Aku masih tetap berjalan sebagai seorang penulis marhaen.., penulis kecil yang hanya berbekalkan cinta, kasih dan sayang di dalam hati. Adakalanya aku bertanya sendiri, siapa aku untuk mendekati seorang Sang Permaisuri yang hidupnya jauh lebih baik dan sempurna dari ku?

Cinta itu ada.., walaupun aku tahu bahawa suatu saat nanti aku mungkin harus melupakannya. Atau aku akan terus terbenam dalam sebuah rasa bahagianya derita yang bukan aku cipta. Kerana rasa itu bangun dengan tanpa kehendak ku. Dan aku tiada pernah berdaya untuk melawan atau menahannya. Hukumlah aku kerana adanya cinta itu. Hukumlah aku kerana cinta yang bangun dalam hati ku. Hukumlah aku wahai Sang Permaisuri.., hukumlah cinta ini jika itu yang diingini.

Dan malam ini, aku menatap langit yang tanpa bintang-bintang penghias. Sayu, hati ku sayu. Sayu kerana ketika Sang Permaisuri ku sedang berjuang di medannya, aku hanya mampu duduk di meja tulis ku dan berdoa agar semuanya terpelihara dan baik-baik saja. Hanya itu yang aku mampu saat ini.., hanya itu yang aku tahu. Dan cinta itulah yang mendorongnya, kerana cinta itu ada dan menyeliputi. Cinta itu cahaya yang menyuluh segala yang dilakukan ini.

Sudah larut malam. Kepala dan kaki ku merasa sakit kerana pulang tadi petang dengan hanya berjalan kaki sejauh lebih dari 11 kilometer. Sesekali begitu, hati ku merasa tenang kerana tidak terikat dengan apa pun kecuali bebas dan lepas. Sakit kepala dan kaki pun tak dapat menimbulkan rasa penyesalan dalam hati ku. Kerana cinta ini lebih besar nilai dan nikmatnya dari segala rasa dan rupa apa pun. Rasa ini adalah rasa cinta yang tidak tersentuh apa pun kecuali cinta semata. Dan aku bahagia dengan cinta ini.., cinta ini adalah penawarna ketika rindu ku hadir menderitakan rasa hati.

"..CINTA.. Cinta itu tetap ada walau sekuat mana pun manusia menafikannya. Kerana cinta adalah asbab kepada segala yang nyata dan tersembunyi.., kerana cinta adalah cahaya yang menerangi segala kegelapan.., kerana cinta, manusia dapat merasai nikmat berkasih sayang. Kerana CINTA.."

Cinta ini melahirkan sebuah puisi;

"..WAHAI PENCINTA.."

Wahai Pencinta-
janganlah engkau terleka-
pada bisikan nafsu mu menggila;
kerana itulah musuh mu yang nyata.

Suara-suara hati rahsia-
yang tak terpedulikan dalam jiwa;
adalah tanda kebinasaan manusia.

Bertawakallah wahai seluruh para pencinta;
biarkan sabar memenuhi dada;
nanti kan damai menyeliputi rasa;
itulah jalan sejahtera bahagia.

Paduan nafas di kemuncak sulbi-
adalah ruang hidup dan mati;
di sanalah tersimpan kehidupan ini;
sebelum nanti dijemput kembali.

Wahai Pencinta-
yang merunduk dalam cahaya;
ka'abah terbuka di dalam dada;
jangan sekali engkau menutupnya.


...bersambung...

 

Posted by Wanji Zain

"..JALAN SUFI.."
..Lantunan Munajat..



TUHAN..
hamba bersujud di dada malam-
berbekalkan Dzikir Cinta yang dalam;
mengharap redha-MU memperkenan ku datang.
Dengan airmata berlinangkan rindu-
munajat ini hanya dari-MU, bersama-MU, dan kepada-MU;
dakaplah hamba dengan Cinta Kasih dan Sayang-MU.

TUHAN..
bila Roh dan Cinta ku kembali menyatu;
genangan air mata jernih ibarat mata air dari gunung-
mengalir tanpa henti menuju samudera;
membentuk gelora Cinta yang tak terupa.
Memukul pantai hati ku yang penuh kerinduan-
meratap dalam tangisan bahagia-
saat ENGKAU membuka tirai hijab di dada.

TUHAN..
hamba ini datang sebagaimana ENGKAU datang;
dalam sentuhan asyik membelai jiwa rohani;
menyapa Sama' dan Basyar-
yang terupa dalam Kalam Cinta-MU;
hanya-MU ya Rabbul alamin;
hanya-MU ya Allahu Dzatti.

TUHAN..
ku sedar bahawa Cinta bukan terbataskan tubuh;
merata-rata menyatu seluruh cakrawala-
yang disentuh air hidup sekalian alam.
Pada rahsia Qidam dan Baqa-
menyimpul dalam Wahdaniah-MU-
hidup dan mati bukanlah berbeza bagi ku.
Karna dalam Hidup adanya kematian-
dan dalam kematian adanya Hidup yang abadi-
Ya Rabbi..

TUHAN..
ku benamkan segala sakit derita;
dalam nafas dzikir ku temukan penawarnya;
yang mengalirkan Kudrat dan Iradat merata;
atas Ilmu yang menyatakan Hayat bersama-
menyaksikan Wujud-MU yang menyeliputi segala-gala.

TUHAN..
aku memiliki apa yang ENGKAU inginkan;
dalam tangis, ku temukan kebahagiaan;
dalam Rindu, ku temukan kesejahteraan;
dalam Kasih, ku temukan kedamaian;
dan dalam Cinta, ku temukan ENGKAU tanpa silih-
Ya Rabbil lil alamin.

TUHAN..
malam ini aku datang lagi-
dalam sujud munajat yang tanpa henti;
menunggu ENGKAU hadir menyapa ku lagi-
seperti sebelumnya kelangsungan abadi terpatri.
Di sini ku terkurung di dalam tubuh mati;
berjalan di atas bumi sebagai hamba-MU pasti;
berbekalkan rahsia Rohani yang berserta di sisi.

TUHAN..
sentuhlah hati ku dalam sujud abadi;
belailah jiwa ku dalam Cinta Kasih menyeliputi;
menari asyik dalam melodi tajalli;
di atas pelangi cahaya Nur Muhammad terpuji;
menggapai cahaya Nur Allah terperi sejati;
aku bersujud munajat pada-MU ya Rabbi.

TUHAN..
ku sedut nafas MU sekalian alam;
dalam sebut Asma'-MU sirri yang dalam;
dan ENGKAU rebahkan aku ke pangkuan Cinta-
yang setitis itu memenuhi jutaan tahun;
mengkhabarkan Cinta yang tiada terbatas;
di padang, samudera dan langit pun ringkas.
Sedang pintu-MU di Baitul Qalbi;
menyimpan segala rahsia terpendam selama ini;
terpatri abadi tanpa bersilih lagi..




Nukilan;
Pondok Anak Jawi

 

Posted by Wanji Zain

"..NGOK-NGEK 2.."
..Jangan Meroyan, Kawan atau PUAN..



Gedebak..!!! Gedebuk..!!! Gedebuk..!!! Gedebak..!!!

"..Aduh! Jangan meroyan, kawan..!! Ini bukan zaman Mak Bedah mulut tempayan.."

Dia pukul aku..? Wah, bisa juga aku ni sampai seorang penulis yang merasa bernama besar dan hebat macam tu pun boleh terpanggil untuk mempertahankan diri, gara-gara ulasan aku yang aku rasa sangat simple dan like-like je tu.. Tak ada maksud apa pun, apatah lagi kerana sifat PHD (..perasaan hasad dengki..) aku padanya.. Apa barang aku nak berhasad dengki dengan orang yang aku dah tahu luar dalamnya..? Aduh! come-on la kawan, be profesional lah sikit.. Jangan la nak melenting dan meroyan kerana sebab aku tak puji melangit macam orang lain (..yang mengampu je tu..) pasal karya PUAN itu.. Aku suka PUAN tulis ni :

"..Salam.. Saya suka, saya suka.. Terima kasih tuan Wanji yang telah memberi komen.. Tak kenal maka tak cinta, marilah kita berkenalan lebih rapat lagi.. Femenist hanyalah label yang dilabel pada saya.. Kerana itu telah saya tawarkan watak Meo pada tuan, dengan harapan kita boleh bermesra, dan tuan peroleh peluang untuk mengenal saya lebih rapat dengan harapan label yang diberi tidak bias dan prejudis.. Tawaran telah ditolak, bias dan prejudis telah berlaku, maka "gagal dan boleh menyesatkan", "talam 2 muka, sikap curang berlindung di sebalik nama islam" saya kira adalah pantulan dari sebuah cermin, milik tuan.. Salam.."


Aduh! Murninya PUAN.. Berapa ramai lagi la yang nak termakan sifat dan sikap berselindung PUAN tu.. PUAN, sukacitanya saya cakap, saya tahu apa yang berlaku, dan saya tahu bagaimana cara PUAN bersikap dalam menangani sesuatu isu.. Jadi, ada baiknya la kalau PUAN duduk diam-diam dan jangan mengheret ulasan aku tu sampai ke bab peribadi pulak, ye tak..? Dan jangan la PUAN cuba nak meraih simpati orang-orang yang suka mengampu tu jadi benteng pertahanan PUAN, sebab aku tak heran pun.. Meh, aku buka maksud apa yang PUAN tulis di atas :


Puan tulis, "..Salam..". Aku jawab, "..Salam.."
Puan tulis, "..Saya suka, saya suka..". Aku jawab, "..Aku tahu PUAN sangat tak suka.."
Puan tulis, "..Terima kasih tuan Wanji yang telah memberikan komen..". Aku jawab, "..Sama-sama PUAN, yang tak faham apa itu komen, ulasan, pendapat dan kritikan.."
Puan tulis, "..Tak kenal maka tak cinta..". Aku jawab, "..Dah kenal, dan tak mahu cinta pun.."
Puan tulis, "..Marilah kita berkenalan dengan lebih rapat..". Aku jawab, "..Eh, PUAN ada kenalan rapat ke..? Dan PUAN tahu apa nilainya sebuah perkenalan yang rapat itu ke..?"
Puan tulis, "..Feminist hanyalah label yang dilabel pada saya..". Aku jawab, "..Itu terbukti pada karya-karya PUAN.."

Puan tulis, "..Kerana itu telah saya tawarkan watak Meo pada tuan..". Aku jawab, "..Kalau aku terima, 80-90 peratus karya itu akan aku tolak dan ubah.."
Puan tulis, "..Dengan harapan kita boleh bermesra..". Aku jawab, "..Ayat PUAN ni boleh buat Sang Permaisuri aku cemburu dan rosak aqidah.."
Puan tulis, "..Dan tuan peroleh peluang untuk mengenal saya lebih rapat..". Aku jawab, "..PUAN, aku tak perlu rapat untuk berkerja dengan PUAN.. Yang aku perlu adalah kejujuran dan kemanusiaan.."
Puan tulis, "..Dengan harapan label yang diberi tidak bias dan prejudis..". Aku jawab, "..PUAN, ini bukan prejudis, tapi semua karya adalah pemikiran sang pengkaryanya.."
Puan tulis, "..Tawaran telah ditolak..". Aku jawab, "..Itu adalah yang terbaik untuk aku dan juga PUAN.."
Puan tulis, "..Bias dan prejudis telah berlaku..". Aku jawab, "..Kalau pun ada, itu selepas aku menonton pementasan baru-baru ini, bukan kerana PUAN.."
Puan tulis, "..Maka 'gagal dan boleh menyesatkan'..". Aku jawab, "..Aku tidak seorang dalam berpendapat seperti itu.."
Puan tulis, "..'talam dua muka, sikap curang berlindung di sebalik nama Islam..". Aku jawab, "..Jom jumpa, kita muzakarah dan aku buktikan.."
Puan tulis, "..saya kira adalah pantulan dari sebuah cermin, milik tuan..". Aku jawab, "..Ini bukan sebarang cermin yang digilap dengan membaca buku-buku moden semata-mata.."
Puan tulis, "..Salam..". Aku jawab, "..Salam.."..


Aduh! Ngok-ngek betul la PUAN ni.. Penyelarasan dan pengkaitan sebuah karya dengan pemikiran pngkaryanya itu adalah sesuatu yang sangat normal PUAN.. Jangan la nak melenting dan meroyan tak tentu pasal.. Sebab aku tulis tu atas timbangan karya PUAN, bukan PUAN peribadi.. Sebab tu aku awal-awal sebut tak mahu ulas hal naskah, tetapi aku ingin lebih mengulas tentang pelakon-pelakon yang PUAN zalimi sebenarnya.. Hmm, kan dah buka lagi satu hal..? Banyak lagi ni ada dalam poket aku ni PUAN..


Aku tak bongkar apa yang terjadi pun dah kira sangat baik, PUAN.. Tapi PUAN macam tu lah, suka sangat nak cari pasal dengan semua orang.. Dulu dah sekali, aku maafkan.. Sekarang jadi lagi..? Aduh! ke PUAN rasa PUAN dah cukup hebat sampai tak boleh dikritik..? Aduh! Nasib baik la aku fikir panjang dan buat keputusan tolak tawaran PUAN hari tu, kalau tak aku rasa PUAN akan menyesal seumur hidup berkerja dengan aku..


Satu nasihat percuma untuk PUAN ye (..tak payah bayar macam PUAN mintak payment tanpa perlu berkerja dan bertanggungjawab..).. Jangan jadi Ngok-ngek sangat la PUAN ye, dan cepat-cepat cari jodoh ye..? Sebab banyak juga permainan lucah dalam karya PUAN yang buat aku rasa tak selesa duduk dalam stor DBP tempoh hari.. Apakah itu terjadi dengan tak sengaja, kalau tak wujud dalam pemikiran pengkaryanya, PUAN..? Adoooohaaaaiiii, PUAN, PUAN (baca dalam nada menegluh..)..


Ngok-ngek betul la penulis yang sorang ni!!!


Gedebuk..!!! Gedebak..!!! Gedebak..!!! Gedebuk..!!!


Hmmm, kan dah kena sekali lagi, PUAN..? :-)




Nukilan;
Pondok Anak Jawi



 

Posted by Wanji Zain

"..JOM SENI.."
..Teater : Aku Manusia Berdosa..



Berakhir sudah pementasan teater vol. 5 'Aku Manusia Berdosa' yang dipentaskan di stor DBP sejak 20 Januari 2012 yang lalu. Aku menontonnya sebanyak dua kali iaitu pada hari pertama dan hari terakhir pementasannya malam tadi. Sebenarnya aku tidak berniat untuk menulis mengenainya, tetapi atas permintaan ramai serta beberapa orang sahabat, maka aku gagahkan juga untuk memberikan sedikit pendapat kerdil ku.

Sebenarnya aku tidak datang untuk menonton karya yang dipentaskan, sebaliknya aku datang untuk melihat gaya lakonan pelakon yang terlibat seperti Pekin Ibrahim, Mislina Mustafa dan Dira Abu Zahar. Kerana secara jujurnya aku bermasalah dengan karya 'KAMPUNG CHETEK' dan 'JUE & MEO'. Dan aku adalah orang yang ditawarkan untuk membawa watak Meo dalam naskah 'Jue & Meo', sebelum aku menolaknya dan menyarankan watak itu diberikan kepada sejiwa ku, Pekin Ibrahim. Penolakan aku, bukan kerana aku tidak sudi bergandingan dengan Mislina Mustafa (*hanya orang bodoh menolak untuk berlakon dengan Mislina*), tetapi aku tidak dapat menerima naskah ini yang aku anggap sebagi prejudis kepada lelaki, serta mempunyai banyak fakta yang salah dalam pengetengahannya. Lagi pula, aku melihat karya ini adalah penterjemahan angan-angan merbahaya dan sikap curang peribadi sang penulisnya yang bersembunyi disebalik nama ISLAM.


KAMPUNG CHETEK
Monolog : Dira Abu Zahar

Skrip :   Sebuah naskah yang jelas memperkatakan tentang sebuah ideologi feminisme yang melampau, jika dilihat dengan dalam dan tersirat. Iaitu meletakkan seluruh kesalahan dalam sebuah masyarakat ke atas bahu seorang lelaki bernama Abang. Di mana semua keenam-enam watak perempuan yang diketegahkan telah melemparkan dialog yang berbau feminisme yang adakalanya sangat menyalahi aqidah Islam itu sendiri. Naskah ini mempunyai cerita dan itu tidak aku nafikan, namun secara keseluruhannya naskah ini dilihat sebagai berat sebelah terhadap lelaki. Terdapat beberapa dialog penekanan yang jelas menyimpang dari aqidah Islam, dan itu bukanlah masalah jika kena pada tempat dan penyuluhannya. Yang menjadi masalahnya sekarang ini adalah, pelempar dialog yang menyalahi ini dicorak atau diletakkan sebagai pemenang dan dizalimi jika dilihat secara teks dan sub teks nya. Perkara ini memerlukan bahasan yang panjang, namun oleh kerana aku telah mengatakan sejak dari awal tadi bahawa aku tidak mahu melihat naskah, maka sekadar itu dulu komentar yang ingin aku lemparkan mengenai skrip naskah ini. Dan kesimpulannya, aku memandang naskah ini sebagai gagal dan boleh menyesatkan. Serta ianya adalah ibarat talam dua muka, jika diukur dari kebiasaan zahir penulisnya.

Lakonan :   Lakonan Dira Abu Zahar yang pertama kali mencuba untuk bermonolog dengan 6 watak, sebenarnya adalah satu keberanian dan harus dipuji. Kerana aku sangat memahami bahawa, untuk bermonolog sebuah kisah berat (*walaupun akhirnya memilih jalan selamat dengan dikomedikan*) dengan tanpa bantuan prop yang banyak, ianya adalah suatu hal yang agak sukar sebenarnya. Pada hari pertama pementasan, Dira dilihat kaku dan sangat gementar di sepanjang pementasan, sehingga membuatnya tidak mampu menghidupkan kaitan dan jalan cerita. Lontaran dialognya juga sangat lemah sehingga kebanyakkan penonton tidak dapat mendengarnya dan memahami maksudnya (*jangan at lips banyak sangat ya Dira hehehe*). Namun pada hari terakhir pementasan, aku sangat memuji lakonan Dira Abu Zahar yang aku kira baru bersedia untuk pementasan itu. Lontaran dialognya jelas dan lakonannya berjaya mengikat kaitan antara satu dengan satu watak yang lainnya. Aku tidak segan untuk memberi pujian kepada Dira sewaktu memainkan watak ibu cikgu Esah dan ustazah Peah (*kalau tak silap aku nama wataknya*), kerana ianya aku lihat hidup dan bersahaja. Permainan emosi Dira yang pelbagai juga agak konsisten dari permulaan pementasan sehingga ke akhirnya, dan ini juga harus diberi pujian dan tepukan. Terima kasih Dira, kerana memberi aku ubat pada hari terakhir pementasan 'Kampung Chetek'.

Pementasan :   Walaupun hanya dengan kelengkapan prop di pentas yang sedikit iaitu 5 buah kotak dan sebuah mesin taip, serta penataan lampu yang paling minimal dan dikira tidak banyak membantu untuk menghidupkan suasana, namun ianya berjaya membawa beberapa elemen simbolik yang jelas dan tidak sukar untuk difahami. Cuma penonton di kanan pentas sedikit resah menunggu aksi plot watak Dah di awal cerita yang terlindung dengan kotak yang disusun bertingkat sehingga menghalangi pandangan penonton dan hanya dapat mendengar dialog seperti mendengar drama radio. Bahasa kotak yang melambangkan sebagai kongkongan fikiran dan bebanan bagi setiap watak, adalah sesuatu yang ringan dan mudah difahami, sesuai dengan cara penyampaiannya yang bersahaja. Aksi merangkak di bawah kotak bagi memisahkan antara plot dan watak sangat berkesan, namun kemunculan posisi dan tempat duduk watak aku kira kurang sesuai dari segi bahasa pentasnya. Dan aku kira scene akhir Dah memukul anak-anaknya sehingga mati itu aku tidak perlu, kerana itu lebih kepada menyogok penonton yang seharusnya dibiarkan keluar dengan tanda tanya, bagaimanakah caranya Dah membunuh anak-anaknya? Keseluruhannya pementasan kali ini boleh dikira berjaya dan sangat bersahaja, enjoy, dan tidak berat (walaupun berat sebenarnya)!


JUE & MEO
Lakonan : Mislina Mustafa & Pekin Ibrahim

Skrip :   Melihat dari tajuknya saja, kita sudah dihidangkan bahawa ini sebuah cerita yang diketengahkan dari sudut kacamata seorang feminisme. Jue & Meo, bukan Meo & Jue seperti tajuk asal karya ini iaitu Romeo dan Juliet. Meletak nama Jue di hadapan dan Meo di belakang tajuk, secara simboliknya sudah menggambarkan bahawa ini sebuah perjuangan feminisme yang jelas. Sekali lagi aku kurang menyenangi karya sebegini, kerana isinya sudah pasti akan menunjukkan bahawa wanita adalah atas segala-galanya. Dan ini terbukti pada permainan di sepanjang naskah ini, walaupun adakalanya terlihat ada sedikit pertikaian dari Meo tentang pendirian Jue, namun diperlihatan pula bahawa Jue akan tetap menang dalam setiap pertikaian dan Meo adalah pesalah. Hal ini juga agak panjang untuk dihuraikan, makanya aku titik kan saja komentar mengenai skrip ini di sini.

Lakonan :   Tidak dinafikan bahawa lakonan Mislina Mustafa memang selalu menjadi penyelamat sesebuah karya. Dan dalam pementasan kali ini, Mislina sekali lagi membuktikannya apabila lakonannya memegang watak Jue dilihat lebih besar dari karya yang dipentaskan, bah kan sering menenggelamkan Pekin Ibrahim yang membawa watak Meo. Manakala Pekin Ibrahim sudah mula mendapatkan sentuhan lakonan di pentas teater, dan ini adalah sebuah perkembangan yang sangat baik bagi karier beliau. Secara peribadinya, aku sangat berterima kasih dengan aksi lakonan kedua pelakon ini pada hari terakhir pementasan malam tadi, kerana ianya lebih memberi impak yang sangat dalam kepada rasa penonton. Cuma aku sedikit resah dengan keselesaan antara watak Meo & Jue yang masih nampak berjarak, tidak seperti sepasang kekasih yang benar-benar bersama selama 500 tahun. Namun aku abaikan hal itu, kerana lakonan mantap mereka malam tadi. Terima kasih buat Mislina Mustafa dan Pekin Ibrahim.

Pementasan :   Aku suka dengan pementasan yang dilakukan, tidak teruja dengan prop yang mewah, namun lebih menekankan daya permainan pelakon di pentas. Berbekalkan 5 kotak, aku sudah dapat menangkap simboliknya dengan cara susun atur serta tempat letaknya. Berlainan dengan penggunaan kotak yang diketengahkan dalam pementasan Kampung Chetek, penggunaan prop Jue & Meo lebih pelbagai dan lebih kreatif, sehingga dapat menggambarkan suasana tempat di mana scene itu berlaku. Tak perlu tangga, tak perlu tali gantung, tak perlu gunung, bah kan tak perlu kayangan untuk menjelaskannya. Ia lebih realistik dan sedar diri, ditambah dengan cara pelakon berkomunikasi dengan penonton yang akhirnya berjaya membawa mereka masuk sebagai pelakon di dalam pementasan itu. Walau pun ianya seperti terkeluar dari maksud pementasan, namun aku menyukainya, kerana meraikan penonton adalah sebuah tanda harga pelakon kepada penonton yang datang. Itu kelebihannya teater marhaen yang tidak akan ada di IB, yang penuh dengan protokol yang menyakitkan. Namun aku tetap ada sedikit kesakitan dengan penataan lampu, yang jelas tidak mampu mengendalikan kelicikan dan kenakalan pelakon yang selalu bertindak keluar dari kotak kongkongan teknik. Jika ianya mampu mengikuti kegilaan pelakon, aku pasti pementasan itu akan lebih menghiburkan dan berkesan. Namun itu tetap aku maafkan, kerana keseluruhannya aku terhibur!


KESIMPULAN

Pementasan teater 'Aku Manusia Berdosa' aku kira sebagai berjaya, walau aku tahu semua yang terlibat menempuh banyak permasalahan yang tidak sepatutnya sepanjang persediaan untuk mementaskan teater 'Kampung Chetek' dan 'Jue & Meo' ini. Terima kasih patut diberi kepada FAISAL MUSTAFFA dan RAT selaku produser yang begitu komited untuk menjayakan pementasan kali ini. Penghargaan juga harus diberi kepada barisan pelakon yang akhirnya terbukti berjaya melakukan 'sesuatu' walau pun kebanyakkan teknik pementasan didapat pada saat genting sebelum pementasan. Aku yang mengikuti perkembangan persediaan sejak dari awal, secara peribadinya berbangga dengan usaha dan kesabaran semua yang terlibat. Persediaan yang penuh tragis, kesabaran yang sungguh hebat, akhirnya membuahkan sebuah pementasan yang berjaya! TAHNIAH!!!


PENEGASAN

Aku tidak ingin memberikan berapa bintang pada pementasan apa pun termasuk pementasan 'Aku Manusia Berdosa' ini kerana aku tidak berminat tentang itu. Namun aku suka tegaskan bahawa aku bukan pejuang kaum Adam atau Hawa, aku lebih selesa berdiri atas nama manusia. Dan aku juga sangat mengormati dan menghargai setiap karya yang berideologi apa pun, kerana itu adalah pemecahan fikiran bagi yang berfikiran terbuka. Perbezaan pendapat dan pandangan itu sangat bagus, namun jangan sampai membawa kepada peredebatan yang tidak sihat sehinga akhirnya merugikan banyak pihak termasuk diri penggiat itu sendiri.



Dari;
Pondok Anak Jawi.
24 Januari 2012.


 

Posted by Wanji Zain

"..DARI SEBUAH RASA.."
..Beratnya Sebuah Perasaan dan Rindu..

...Situasi 3...


Jarak yang memisahkan aku dan Sang Permasuri, tidak sekali-kali pernah dapat memisahkan perasaan antara kami. Dalam kejauhan ini, aku dan Sang Permaisuri tetap memandang bulan yang sama. Merasai perasaan yang serupa. Tatapan yang tak pernah membezakan, begitu lekat dan bulat di dalam perasaan ini. Mewangi, bersinar suci dan terus menyiram perasaan dan rindu yang subur di hati..

Baru semalam Sang Permaisuri menyatakan rindunya. Dan hari ini, aku membalas penyataan yang seumpama itu juga. Namun aku sedikit tersentak dengan sebuah pertanyaan dari Sang Permaisuri, bahawa apakah aku ini benar-benar menyayanginya..? Dan mengapa aku ini menyayanginya dalam sesingkat waktu ini..?

Aku percaya, pertanyaan itu adalah sebuah gambaran tentang keinginannya. Pertanyaan itu juga menggambarkan pertimbangan tentang kesediaannya untuk membuka pintu hatinya kepada ku. Jika pun tidak untuk hari ini, pasti pada suatu saat nanti. Dan sebaiknya biar aku jujur saja dengan perasaan ku. Jujur saja tentang kerinduan ku saat berjauhan dengannya. Biar Sang Permaisuri tahu, bahawa aku ini tidak bermain dengan perasaan kejahilan ku. Tetapi apa yang aku rasakan sekarang, adalah lahir dari sebuah kesedaran yang dalam, yang tak mungkin dapat aku nafikan sejak saat pertama kali aku bertemu dengannya.

Sungguh, siapa pun akan mempersoalkan tentang perasaan ku yang lahir dengan sekejap waktu ini. Namun begitulah yang namanya perasaan, ianya bisa saja terbina dalam jarak masa yang lama, bah kan bisa saja terbina dengan sekelip mata. Kerana perasaan adalah suatu hal yang di luar jangkauan dan kendalian manusia. Ianya adalah anugerah dari Sang Cipta kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya. Dan hakikatnya ia tanpa persoalan. Kerana ianya seperti nafas yang menyelusur masuk ke dalam liang rongga. Manusia yang tanpa perasaan, adalah manusia yang tidak mengecapi nikmatnya sebuah kehidupan.

Ingin saja aku bertanyakan kepada Sang Permaisuri, bagaimanakah perasaannya saat dia berada dekat di sisi ku..? Dan bagaimana pula perasaannya saat dia berada jauh dari ku..? Dan pada perasaan-perasaan itu, apakah ianya hadir dan terbina dalam sejauh jarak waktu..? Tentu saja tidak, kerana perasaan bisa saja hadir dan terbina dalam sekelip mata sesuai dengan apa yang dihadapinya ketika itu juga. Inilah rahsia Kasih dan Sayang yang dikurniakan Tuhan pada setiap manusia. Namun, tidak ramai yang menyedari dan mengambil peduli. Sehingga pada akhirnya, manusia terbelenggu dengan kesakitan, rasa sesak dan terdesak.

Dan aku adalah seorang lelaki yang sangat teruja untuk menikmati dan mengecapi perasaan. Kerana aku sangat percaya, bahawa perasaan yang tidak dinikmat dan dikecapi hanya akan menjadi beban dalam jiwa dan fikir. Pada akhirnya nanti, ia akan mengakibatkan seseorang itu terlepas sebuah peluang untuk menikmati dan mengecapi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Yang akibat dari itu, manusia akan merasa keseorangan dan penuh kesunyian. Lalu apa maknanya kehidupan ini, jika itu yang menyelimuti kehidupannya sehari-hari.

Di subuh ini, ketika Sang Permaisuri sedang karam dalam lena beradu, jemari ku masih segar menari-nari di atas papan huruf untuk menulis dan menyatakan betapa beratnya perasaan dan rindu ini terhadapnya. Biar Sang Permaisuri ku itu tahu, bahawa aku tak akan pernah mempedulikan tentang diri ku demi kebahagiaan dan kesejahteraan kehidupannya. Kerana dia adalah Sang Permaisuri. Sang Permaisuri yang telah bertahta dalam perasaan dan jiwa marhaen ku.

Rindu. Aku tak akan jemu untuk menyirami rindu ini. Aku ingin melihat rindu ini semakin merimbun dalam jiwa ku. Biar aku karam di dalamnya, dan akan aku kecapi sehingga aku tak mempedulikan apa-apa lagi selain dari perasaan ini. Jika suatu saat nanti Sang Permaisuri ingin karam bersama ku, itu adalah anugerah dari Tuhan. Jika tidak, aku akan terus berbahagia dengan apa yang aku rasakan. Kerana rindu ini, tidak semua manusia bisa mendapatkan. Tidak semua manusia bisa merasakannya.

Aku ingin hadir dalam lena beradu Sang Permaisuri ku. Dan aku ingin mendakapnya dengan dakapan syahdu. Agar Sang Permaisuri tahu dan merasakan betapa hangatnya sebuah Kasih Sayang. Agar Sang Permaisuri tahu betapa agungnya sebuah perasaan dan rindu. Dan semua itu dapat ku lihat dari matanya pada saat bertemu. Semua itu dapat ku bacanya saat Sang Permaisuri berada dekat di sisi ku.

Dari kejauhan ini, perasaan dan rindu ini menjadi bukti. Ianya berat untuk ku galas sendiri, namun kemanisannya akan dapat kurasakan saat bertemu nanti.....



...bersambung...

 

Posted by Wanji Zain

"..NGOK-NGEK 1.."
..Apa Punya Bangang Ni..?



"..Kau ingat kau tu siapa..? Dorang tu semua orang besar dalam industri, kau tahu tak..?" kata seorang teman pada aku.

"..Aku ni cuma bimbang nanti dorang tabur pasir dalam periuk nasi kau je.. Dorang ada kuasa, dorang boleh buat macam-macam pada karier kau.." kata teman yang lain pada satu pertemuan.

Aku diam dan senyum je.. Bukan aku nak nafikan kata-kata teman ku, tapi aku rasa aku dan siapa saja tak perlu takut untuk suarakan kebenaran. Ini persoalan hak, dan ini persoalan masa depan industri juga. Bagi aku, sampai bila kita nak biarkan industri ni dikuasai oleh golongan penindas dan kuku besi..? Kalau kita sekadar membiarkan, bukan kah itu salah kita juga..? Dari sejak lama dulu kita disogok dan ditakutkan dengan perkataan 'kuasa'.. Besar mana sangat kuasa manusia ni, sampai kita lupa nak besarkan dan tolak kuasa Allah..?

"..Kau jangan berani sangat, masa depan kau boleh hancur dengan sikap macam tu.."

Ayat nasihat macam ni yang aku paling bosan nak dengar.. Paling tak masuk ke dalam akal aku yang seadanya ni.. Sebab pertama, sejak bila masa depan manusia ni bergantung kepada orang lain, apatah lagi bergantung pada manusia-manusia penindas dan kuku besi..? Sebab kedua, sampai bila sikap penindasan dan kuku besi ni mesti dibiarkan terus menguasai industri kita yang semakin malap dan tenggelam ni..? Dan sebab ketiga, kalau kau takut dan tak mahu berjuang, kau jangan nak menjadi penghalang..

Seorang pejuang, tak akan pernah takut untuk melangkah ke depan.. Seorang pejuang, tak akan pernah takut untuk menghadapi kekalahan.. Seorang pejuang tak akan pernah bimbang kalau dihapuskan.. Yang penting bagi seorang pejuang, adalah BERJUANG!..

"..Kita ni janji dapat job, boleh cari makan sudahlah.. Tak payah la kita nak sibuk lawan gergasi tu.."

Ya Allah, gergasi apa pulak ni..? Siapa yang jadikan dorang tu gergasi..? Kita yang jadikan macam tu, sahabat.. Kita yang besarkan sangat dorang tu sampai dorang rasa besar dan lupa diri.. Sampai kita lupa setiap manusia tu ada hak untuk meraih kehidupannya dengan sempurna.. Bukan semata-mata dengar, tunduk dan akur dengan sesuatu yang HATI kita sendiri tak dapat terima.. Salah siapa sekarang ni sahabat, kalau perkara macam ni terus terjadi..?

Industri ni bukan milik total bagi sesiapa. Tidak milik dia, tidak milik mereka, dan tidak juga milik kita. Industri ni milik semua, milik dia, milik mereka, dan milik kita, milik SEMUA.. Sebab, tidak siapa dilahirkan dengan tanda namanya sebagai pemilik KESENIAN.. Semua orang lahir dengan SENI dan seni itulah HIDUP.. Maka setiap yang hidup, mereka berhak atas KESENIAN, dan kesenian itulah kehidupan.. Bukan total milik seseorang macam yang berlaku sekarang ni.. Tolonglah faham, sahabat-sahabat..

Ngok-Ngek betul la dunia kesenian sekarang ni.. Takut pada yang tak sepatutnya.. Macam tak ada isi sendiri, sampai terpaksa menganga mulut melahap isi orang lain.. Kalau isinya manis dan berkhasiat tak mengapa lah.. Malangnya isi yang ditelan tu, SAMPAH..!!!

Macam ni je lah.. Hidup kita ni cuma ada dua pilihan, iaitu menjadi diri sendiri atau menjadi orang lain.. Kalau sahabat memilih untuk menjadi orang lain, jangan paksakan aku menjadi seperti itu.. KERANA AKU MEMILIH UNTUK MENJADI DIRI KU SENDIRI..!!!

Sekadar perenungan : Ibaratnya beginilah, kalau orang mengajak kita bermain lumpur dan nampak meriah, jangan kita terlalu cepat teruja untuk turut bermain sama.. Kena lihat juga, entah sebelumnya lembu atau kerbau dah berkubang dan melepaskan najisnya di situ....... Kalau nak bermain juga, bersihkanlah dulu lumpur tu.....



Nukilan;
Pondok Anak Jawi


 

Posted by Wanji Zain

"..JALAN SUFI.."
..Aku Dan Guru Sufi..

...Kisah 1...


Suatu hari ketika aku berada di tanah seberang, aku bertemu dengan seorang Guru Sufi yang bernama Habib Soleh. Beliau sangat dikenali di sekitar Tanah Jawa dan mempunyai ribuan murid yang sangat setia kepadanya. Ketika pertemuan itu, beliau sedang duduk di atas sebuah pangkin pondok yang diperbuat daripada buloh sambil matanya terpejam rapat dan mulutnya dibasahi dengan lafaz-lafaz dzikir. Aku memberanikan diri untuk menyapanya, walau aku tahu beliau sedang tenggelam di dalam dunianya sendiri waktu itu.

"..As-salamu 'alaikum, Tuan Habib.." aku menegurnya perlahan. Senyap, tiada tanda-tanda beliau akan menjawab salam ku. Aku mengulanginya lagi, dan lagi, dan lagi. Seketika aku melihat mulutnya terhenti dari melafazkan dzikir yang tidak aku mengerti.

Namun beliau tidak segera menjawab salam ku. Matanya dibukakan perlahan-lahan dan merenung wajah ku untuk beberapa waktu. Kemudian barulah beliau menjawab salam ku tadi, sambil menghadiahkan sedikit senyuman buat ku.

"..Ada apa, anak ku..?" soal Habib Soleh sambil membetulkan duduknya. Kemudian beliau menepuk perlahan pangkin pondok buloh itu sebagai isyarat untuk aku duduk di sisinya. Aku tidak ingin melengahkannya lalu duduk di bucu pangkin seperti yang diarahkannya.

"..Nah, sekarang katakan apa hajat mu..?" soal Habib Soleh lagi sebaik melihat aku terdiam. Senyuman di bibirnya sangat membuatkan aku serba tidak tentu. Senyuman seorang arif yang berilmu tinggi sepertinya bisa saja membuatkan seekor harimau tertunduk malu, apa lagi manusia berdosa seperti aku.

"..Tidak usah malu, anak ku. Kita kan hanya berdua sekarang..?" sambungnya lagi. Ucapnya seperti memujuk dan menenangkan hati ku yang gelisah.

Aku cuba memberanikan diri untuk bertanya, namun entah kenapa lidah ku kelu seperti dikunci. Habib Soleh masih menatap wajah ku dengan senyuman yang sukar untuk dimengertikan maksudnya. Tapi senyuman itu sangat mendamaikan hati. Aku semakin yakin bahawa di hadapan ku sekarang ini memang benar-benar seorang Guru Sufi yang tinggi ilmunya.

"..Anak ku.. Bila kita menginginkan sesuatu, kita harus berani menyuarakan dan mendapatkannya.. Ayuh, katakan saja apa hajat mu..".

Bicara Habib Soleh kali ini benar-benar mengenai apa yang aku rasakan saat itu. Aku memberanikan diri untuk melihat wajah Habib Soleh yang sangat bersih dan mendamaikan. Saat menatap wajahnya yang murah dengan senyuman itu, serta merta semangat keberanian ku bangkit. Entah dari mana datangnya, tapi ia memang benar-benar mengujakan.

"..Tuan Habib, tolong tunjukkan saya bagaimana caranya berjalan menuju Allah.. Saya sangat rindu.." suara ku perlahan dan penuh perasaan malu.

Habib Soleh tidak segera menjawab. Ditatapnya wajah ku dalam-dalam. Lama. Kemudian beliau bangun dan turun dari pangkin buloh itu, berjalan dan berdiri di tanah lapang di hadapan. Kedudukannya betul-betul menghadap arah sebatang pohon kelapa sunda yang tidak jauh dari situ.

"..Anak ku, ke mari lah.." suaranya dengan masih tetap memandang pohon kelapa sunda itu.

Aku segera turun dari pangkin pondok buloh itu, dan menghampiri sisi di mana Habib Soleh berdiri. Dan pandangan ku juga terarah ke arah pohon kelapa sunda yang dipandang Habib Soleh, sambil menantikan bicara Guru Sufi itu untuk yang seterusnya.

"..Anak ku, apakah kau bisa melihat pohon kelapa sunda itu..?" tanya beliau pada ku.

"..Iya, Tuan Habib. Saya dapat melihatnya.." jawab ku dengan tanpa tahu apa maksudnya.

"..Nah, sekarang jadikanlah pohon kelapa sunda itu sebagai matlamat mu untuk sampai kepadanya. Kemudian berjalanlan engkau tiga langkah menuju ke pohon kelapa sunda itu.." arah Habib Soleh kepada ku.

Tanpa bertanya sebabnya, aku pun patuh dan melangkah seperti yang diarahkan Habib Soleh. Selangkah, dua langkah, dan tiga langkah. Selesai melaksanakannya, aku berdiri di situ sambil menoleh dan memandang Habib Soleh.

"..Sekarang berundurlah sepuluh langkah ke belakang dari arah pohon kelapa sunda itu, anak ku.." arahnya lagi.

Aku tetap tidak bertanya apa-apa selain patuh dengan arahan Habib Soleh itu. Melangkah sepuluh langkah ke belakang. Aku mengirakan setiap langkah mundur ku satu per satu. Selesai melaksanakannya, sekali lagi berdiri di situ dan kembali menoleh ke arah Habib Soleh. Kemudian aku di arahkan berbuat seperti yang mula-mula tadi, iaitu melangkah kembali tiga langkah ke hadapan. Kemudian melangkah ke belakang sepuluh langkah lagi. BEGITULAH seterusnya untuk beberapa kali. Dan saat itu aku mula merasakan sesuatu. Aku pun berhenti dari melakukan apa yang diarahkan oleh Habib Soleh.

"..Tuan Habib, kalau begini yang harus saya lakukan, bagaimana saya akan sampai ke pohon kelapa sunda itu..? Jika begini caranya, saya akan semakin menjauh.." suara ku sedikit memprotes.

Habib Soleh hanya tersenyum lembut. Kemudian beliau menghampiri aku dan memimpin ku kembali ke pangkin pondok buloh tempat permulaan pertemuan kami tadi. Habib Soleh menyuruh aku duduk di pangkin itu, sedang dia tetap berdiri di hadapan ku.

"..Anak ku, demikianlah seharusnya engkau dalam berjalan menuju kepada Allah. Janganlah perjalanan ke hadapan itu mengurangi dari perjalanan mu ke belakang. Jika demikian, engkau akan semakin jauh dari matlamat mu. Inilah yang kebanyakkannya berlaku kepada manusia hari ini. Dan engkau jangan sekali-kali mengamali sifat dan sikap seperti itu. Berjalanlah ke hadapan dengan berani dan yakin, serta tidak sekali-kali memikirkan untuk berundur ke belakang. Nanti apabila engkau sudah sampai ke matlamat mu, engkau tidak akan pernah terikat resah dengan apa saja yang di belakang mu walau engkau berada di dalamnya. Satu hal yang harus engkau ketahui, Allah akan mengampuni kesalahan apa saja yang engkau lakukan kecuali menyekutukan-Nya. Justeru berpeganglah akan hal ini dengan sebenar-benarnya.."

Aku terkedu dengan penjelasan Habib Soleh itu. Beliau memang benar-benar seorang guru amali, bukan sekadar hanya tahu berbicara teori. Sesudah memberikan talkin itu, Habib Soleh terus berlalu pergi meninggalkan aku sendirian di pangkin pondok buloh itu. Dan tinggallah aku di pondok buloh itu untuk beberapa hari. Sendirian...



Nukilan;
Pondok Anak Jawi


 

Posted by Wanji Zain

"..DARI SEBUAH RASA.."
..Bintang Menjadi Saksi..

...Situasi 2...


Ketika malam itu menjengah sebening pagi, sambil sepasang mata ku merenung sinar neon yang membias di permukaan tasik saksi, hati pun berbisik "..inikah cinta dan rindu..?"..............

Di sisi, Sang Permaisuri masih cuba bersembunyi di sebalik riak wajah yang seperti bidadari. Namun matanya membicarakan sesuatu tentang keinginan, harapan dan perasaan yang tak terucapkan. Lemas dalam kabus pagi, bersaksikan bintang-bintang di langit, meratap antara dua rasa yang tidak terfahami, hati pun berbisik lagi, "..perasaan apakah ini..?"........

Isi di dada langit itu menjadi pemerhati yang setia. Bintang-bintang itu melihat dengan tanpa bicara. Namun aku tahu ia memahami, dan aku tahu ia mengerti. Seperti mengertinya aku dan Sang Permaisuri yang saling berbahagi cerita suka, duka, dan cuba untuk mengukir sebuah cerita baru antara aku dan dia. Dan bintang yang menjadi saksi.

Berkali-kali aku mengulang tatap kepada bintang di langit, dan sesekali aku menyerunya dengan kata-kata syahdu. Namun hakikatnya aku sedang menatap bintang di dalam hati ku dan hati Sang Permasuri yang berada dekat di sisi ku. Sang Permaisuri pun menyentuh ku, membelai lembut rambut ku dengan senyuman yang penuh kasih dan harapan. Aku tahu, itu adalah bicara yang dalam dari dalam hatinya. Bicara yang masih tidak mampu untuk diucapkan. Bicara yang mengharap agar aku dapat mencicipnya dengan penuh pengertian..

Bintang, walau dari tempat yang mana pun pencinta itu melihatnya, ia akan tetap sebuah bintang yang sama. Tiada beza, tiada terbahagi menjadi dua. Kerana bintang adalah satu, seperti mana satunya hati walau berada di dalam dua tubuh yang berbeza. Dan hati, jika ianya benar-benar dimengerti, nescaya ianya tak akan pernah memaksakan. Kerana di dalam hati itu mempunyai jiwa dan perasaan yang apabila pencinta itu menemukan, nescaya akan dipeliharanya sehingga akhir hayat di kandung badan.

Dari bercerita tentang kisah-kisah dan rahsia rasa yang terpendam di hati dengan bintang menjadi saksi, kata-kata puisi pun terbit menjadi jambatan bicara. Dan ketika itu aku melihat ke dalam mata Sang Permaisuri berulang-ulang kali. Aku ingin menatapnya sepanjang pagi ini. Aku ingin membaca bicara matanya yang penuh dengan impian dan harapan tersembunyi. Namun aku tewas setiap kali jemarinya singgah di pipi ku, tewas ketika jemarinya membelai lembut rambut ku. Aku tewas untuk membaca bicara matanya. Aku biarkan fikir dan rasa ku hanyut dalam sentuhannya. Dan yang aku temukan dari pelayaran itu, ia adalah Cinta, Kasih dan Sayang-nya.

Begitulah sepanjang malam sehingga hampir terbitnya mentari pagi. Dan hati tetap tidak rela untuk melepaskan Sang Permaisuri pergi. Sungguh, aku terdesak untuk menahannya pergi. Namun aku harus melepaskan jua demi sebuah kesejahteraan dan kebahagiaannya. Sepanjang malam, sehinga terbitnya mentari pagi itu, aku mengakhirinya dengan sebuah bicara kucupan yang aku singgahkan ke pipi Sang Permaisuri....


...bersambung...

 

Posted by Wanji Zain

"..JOM SENI.."
..Berita Dari Yahoo Malaysia.com..
(malaysia.yahoo.com)


Turun naik perkembangan industri perfileman negara sejak dahulu sehingga sekarang adalah merupakan cabaran bagi sekumpulan penggiat muda kesenian yang bernaung di bawah nama Seni Suri Jawi. Cabaran ini tidak pula melunturkan semangat mereka untuk menyumbang sesuatu kepada industri perfileman dan masyarakat khasnya. Maka dari itu lahirlah sebuah naskah filem yang bertajuk ‘GENG PISANG’, karya pertama Seni Suri Jawi yang bakal dipertaruhkan ke tengah medan industri perfileman tanahair tidak lama lagi.

Setelah dua kali gagal untuk mendapatkan pinjaman dana kreatif dari Bank Simpanan Nasional dengan tanpa alasan, produksi filem ‘GENG PISANG’ tetap tidak akan mengalah dan akan meneruskan penggambaran. Filem yang menggabungkan beberapa syarikat produksi seperti Seni Suri Jawi, One Zero Corporation, Framepersecond Pictures dan DFX Studio ini bakal menjalani penggambaran pada Februari 2012 nanti.

Pengarahnya Wan Azli Wan Jusoh yang pernah menggemparkan industri tanahair melalui filem ‘Budak Kelantan’ menyatakan, mereka akan terus berusaha untuk menjayakan matlamat filem ini walaupun terpaksa menjalani penggambaran secara indie atau gerila. Filem ini dirancang untuk menjalani penggambaran pada Oktober 2011 lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Menyedari tanggungjawab yang terpikul di bahunya, Wan Azli Wan Jusoh yang agak serius sewaktu seisi temubual menyatakan, selain masalah dana yang dihadapi, beliau tidak mengalami masalah lain kerana di Seni Suri Jawi mereka berkerja secara berjemaah dan saling melemparkan pandangan dan idea untuk filem ini.

"Dan inilah kekuatan kami untuk meneruskan perjuangan. Alhamdulillah, sejak akhir ini segalanya sudah mula menampakkan kemudahan untuk melaksanakannya. Dan sekarang masanya sudah sampai." ujar beliau dengan sedikit senyuman. Ketika ditanya mengenai lambakan filem bercorak gangster di pawagam sekarang beliau menjawab dengan bersahaja. "Apa yang lebih penting walaupun industri filem tanahair sedang dilanda gelombang filem bercorak gangsterism, namun filem ini bukanlah terpengaruh dari keadaan itu, kerana skrip filem ini sudah dihasilkan pada tahun 2008 lagi. Dan motif filem ini jauh berlainan dari filem gangsterism yang sedia ada. Itu akan terbukti bila filem ini keluar nanti."

Berkisahkan tentang perjalanan hidup seorang pembunuh rahsia yang menganggotai sebuah kumpulan bawah tanah, filem ini dijangka akan dapat memberikan suatu sentuhan dan citarasa baru dalam industri perfileman tanahair. Kelainan cara garapan yang dipertaruhkan dalam filem ini juga diharap akan dapat membawa sebuah perubahan kepada dunia perfileman negara. Kerana filem ini lebih menerapkan serta menekankan jati diri Melayu dalam babak-babak serta aksi pertarungannya, dan tidak ingin dipengaruhi oleh babak-babak aksi filem dari Hong Kong atau Hollywood. Ini juga dibayangkan oleh salah seorang pelakon yang terlibat, yang juga merupakan seorang pengarah filem kontroversi ‘Dalam Botol’.

Pengarah filem dan pelakon Khir Rahman semasa ditanya menyatakan, "naskah ini adalah sebuah naskah yang jujur dan penuh dengan kisah-kisah tauladan serta peringatan yang dapat membina serta menyedarkan masyarakat tentang apa yang berada di sekeliling mereka. Atas sebab itu saya bersetuju untuk menjadi sebahagian dari karya ini. Lagi pula kami semua memang sudah sepakat untuk menggerakkan ‘sesuatu’ untuk industri filem Melayu melalui wadah Seni Suri Jawi. Jadi nantikanlah kemunculan filem ini." ujarnya ringkas dengan senyuman penuh makna pada pertemuan itu.

Skrip filem ini ditulis oleh Wanji Aswandi berkonsepkan kritikan sosial yang bergenre drama aksi dan bakal membariskan barisan pelakon seperti Khir Rahman, Wanji Zain, Bront Palarae, Pekin Ibrahim, Amerul Affendi, Nam Ron, Melissa Saila, Pyan Habib, Ronasina, Khairil Ridzuan dan ramai lagi.



Artikel ini telah dikeluarkan pada;
18 Januari 2012.
Oleh; Yahoo Malaysia Entertainment.

 

Posted by Wanji Zain

"..DARI SEBUAH RASA.."
..Hamba Ini Hanya Menyatakan..

...Situasi 1...


Titis-titis hujan yang menitis di subuh ini, adalah bukti dari apa yang aku rasa dan bicarakan. Perasaan kasih, sayang dan rindu ku inilah yang melakarkan kata-kata bicara ku, tanpa aku harus mengarangnya dengan bahasa-bahasa indah. Namun katanya, "..Perkataan itu tiada apa-apa. Hanya perlu dibuktikan....".

Ianya menghiris. Namun itulah kebenarannya. Kata-kata yang tanpa dibuktikan dengan perbuatan, sememangnya adalah kata-kata yang kosong dan tiada apa-apa. Siapa tahu, kalau suatu hari nanti aku tidak mampu membuktikan segala kata-kata ku..? Siapa tahu, kalau suatu hari nanti aku akan mengecewakan hatinya dengan perbuatan-perbuatan ku yang melukakan..?

Baru semalam, aku melihat dalam ke dalam matanya. Kesedihan, kekosongan dan rasa ingin dibelai tergambar dari relung matanya. Sebuah harapan turut terbayang dari renungan yang tak dapat disembunyikan. Aku ingin bertanya, tapi apakah aku ini layak..? Apakah kepada aku ini dibukakannya pintu hati untuk aku masuk ke dalam dan menyelami..?

Subuh ini menjadi saksi. Permaisuri itu begitu asing dari kehidupan ku. Namun ia juga begitu dekat dengan hati ku. Ianya tersembunyi. Ianya penuh dengan teka-teki. Matanya menceritakan semua itu, ketika bibirnya terkunci dari meluahkan apa yang terbuku. Ada sesuatu yang aku harus tahu. Ada sesuatu yang harus aku gali dari lubuk hatinya. Kerana aku yakin bahawa dia juga mempunyai sebuah naluri yang sama. Ingin memiliki kebahagiaan hidup seperti yang lain, ingin menikmati kebebasan keinginan tanpa pengaturan, bah kan ingin mencintai dan dicintai dengan seadanya..

Permaisuri ini tidak mudah didekati. Tapi tidak sulit untuk dimengerti....


...Bersambung...


 

Posted by Wanji Zain

"..SYAIR MERINDU.."


Hening subuh - memanggil rindu;
bayangan kasih - menjemput syahdu;
di awangan rasa - terlihat wajah mu kekasih.

Air mata membasah naluri;
alunan nafas tak dapat mengisi-
setiap zarah cinta - tak mampu diterangi ucap kata lagi.

Hanya subuh ini yang menjadi saksi;
betapa rindu ku merintih..

Titis-titis hujan - bagaikan mengerti;
segala bisikan rindu di hati.
Dan kasih menanti - di pintu hakiki;
bercahaya terang - dan tersembunyi.


Nukilan;
Pondok Anak Jawi
20 Januari 2012

 

Posted by Wanji Zain

"..HAMBA INI BEGINILAH.."


Aku ini bukan siapa-siapa.. Dan hingga sekarang pun aku tidak tahu mengapa orang-orang itu melihat ku dengan memuja.. Kerana bagi ku, aku hanyalah seorang pejalan yang sedang mengisi takdir di dunia semata.. Dan satu masa nanti, aku akan mengakhiri jalan ini dan kembali semula ke alam asal mula ku..

Kehidupan ini hanyalah untuk menjalani takdir, dan aku hanyalah secebis dari takdir-takdir itu. Begitu juga kamu dan semua mereka-mereka, tanpa takdir kita tiada apa-apa.. Aku hanya menjalani apa adanya. Dan aku tidak ingin meminta lebih dari apa yang menjadi takdir ku. Itu aku, dan aku tidak tahu kamu.. Cuma, aku ingin mengecapi kebahagiaan dan kesejahteraan dari setiap takdir-takdir ku itu. Hanya itu..

Namun, apabila takdir ku dan takdir mu bertemu menyatu, di sinilah kemanusiaan ku mula bertamu. Kita mengukir sebuah takdir baru, takdir yang belum tentu menjanjikan syahdu.. Takdir yang entah suka atau duka, entah bahagia atau derita, tak siapa pun di antara kita dapat menentukannya. Namun aku harus menjadikan takdir-takdir itu sebagai pelajaran dan pengalaman untuk aku lebih mengenal diri ku. Untuk aku mengenal takdir mu, dan menjadikan yang terbaik buat kita semua. Begitulah aku.. Begitulah aku melihat takdir itu..

Aku bersyair, aku menulis, aku menyanyi, dan aku melakonkan watak-watak bukanlah untuk dilihat sebagai mahsyur dan hebat.. Aku hanya ingin berkongsi sama, agar kita dapat saling mengisi dan melengkapi. Agar kita dapat saling mengerti dan memahami. Agar kita dapat saling menerima dan memberi..

Itulah aku, yang tak terkhabarkan dalam tersurat. Yang jarang sekali untuk engkau dan mereka-mereka mengerti dan melihat.. Aku menangis, aku merintih. Dan airmata ini ku benam dalam, walau adakalanya terlepas jua di alam kenyataan.. Namun, itulah takdir ku. Dan itulah yang sering mengulangi perjalanan takdir ku.. Itulah aku, yang sedang berjalan di pentas dunia yang hakikatnya bukan penentu. Demikian juga kamu dan mereka-mereka itu, semuanya mempunyai suatu takdir yang menjadi satu.. Dan adakalanya satu dengan ku..

Dari sebuah bicara dalam ku..

"..Hamba ini beginilah.. Hamba hanyalah pejalan yang menuju keabadian. Dan saat ini hamba sedang berada di persinggahan musafir.. Mencorak takdir, menapak erti dan merindukan asal.. Wadah ini adalah perkongsian dan pedoman jalan.. Dan hamba ini beginilah, hanya sebuku kisah musafir dan kehidupan Sang Pejalan yang bernaluri seorang INSAN.." ~Anak Jawi~



Nukilan;
Pondok Anak Jawi.
19 Januari 2012

 

Posted by Wanji Zain

..Hamba ini hanyalah pejalan yang menuju keabadian. Dan saat ini hamba berada di persinggahan musafir, mencorak takdir, menapak erti dan merindukan halaman asal. Wadah ini adalah perkongsian, pedoman jalan, kisah musafir dan kehidupan sang pejalan yang bernaluri ANAK JAWI..

 

Posted by Wanji Zain

SALLI WA SALLIM

SALLI WA SALLIM DAA-IMAN ‘ALA-AHMADA
SALLI WA SALLIM DAA-IMAN ‘ALA-AHMADA
WAL-‘AALI WAL ASHAABI MAN QAD WAHADA
WAL-‘AALI WAL ASHAABI MAN QAD WAHADA

SAYANG, SAYANG, SAYANG
KITA TAK TAHU MANA KAN PERGI
TAK SANGGUP KITA DENGARKAN SUARA YANG SEJATI
LANGKAH KITA MENGABDI PADA NAFSU SENDIRI
YANG ASYIK KITA PANDANG HANYA KEPENTINGAN SENDIRI


SAYANG, SAYANG, SAYANG
ORANG PINTAR TAK MAHU NGAJI
KEPALA TERNGADAH MERASA BENAR SENDIRI
SEMUA DITUNDING-TUNDING DAN DI CACI MAKI
YANG LAINNYA SALAH HANYA DIA YANG SUCI


SAYANG, SAYANG, SAYANG
ORANG HEBAT TINGGI HATI
SEMBANG DEMOKRASI PIDATO BERAPI-API
TERNYATA KARENA MENGINGINKAN KURSI
SEMENTARA RAKYAT KEPAYAHAN CARI NASI


LOYANG DI SANGKA EMAS
EMASNYA DIBUANG-BUANG
KITA MAKIN BUTA MANA UTARA MANA SELATAN
YANG KECIL DIBESARKAN YANG BESAR DIKECILKAN
YANG PENTING DIREMEHKAN YANG REMEH DIUTAMAKAN


SAYANG, SAYANG, SAYANG
HIDUP DI ZAMAN YANG AKHIR INI
PIMPINAN SEMAKIN GOYANG
ALIM TERMASUK CINTA DUNIAWI
SEMUA KARENA HASUTAN SYAITANI
AKHIRNYA DERITA PARA RAKYAT YANG MENGABDI


SEKARANG KITA HIDUP
DI ZAMAN SAINS DAN TEKNOLOGI
DA YANG MENGEMBANG MAKSUD SEMANGAT REVOLUSI
AKHIRNYA TENGGELAM HIKMAH PARA NABI
BANGKITLAH HAI SALIK YANG DI PIMPIN PARA WALI


SAYANG, SAYANG, SAYANG
KITA MASIH TERCARI-CARI
UMUR SEMAKIN HILANG NAMUN MASIH TAK MENGERTI
DI MANAKAH ASAL KE MANA KAN KEMBALI
JANGAN SAMPAI NANTI KITA SESAL DAN RUGI


SAYANG, SAYANG, SAYANG
ORANG BERJUANG TAKUT MATI
TAK SANGGUP DIA BERKORBAN KERANA HATINYA BELUM SUCI
APA YANG DIIDAMKAN KEMENANGAN HARI INI
TAK PERNAH DIA KENANGKAN JANJI TUHAN-NYA YANG PASTI


SAYANG, SAYANG, SAYANG
KITA BERFILSAFAT TINGGI-TINGGI
TAK INGIN KITA RENUNGKAN SI FAKIR YANG DI KALI
HIDUPNYA MENGALIR TAK PERNAH TERHENTI
MENUNJUKKAN BUDI AKHLAK-NYA YANG SEJATI


ALLAH, ALLAH, ALLAH
BETAPA BUSUK HIDUP KAMI
DAN MASIH TERUS AKAN LEBIH MEMBUSUK LAGI
BETAPA GELAPNYA HARI DI DEPAN KAMI
MOHON BIMBINGILAH KAMI YANG KECIL INI