"..JOM SENI.."
..Teater : Aku Manusia Berdosa..
Berakhir sudah pementasan teater vol. 5 'Aku Manusia Berdosa' yang dipentaskan di stor DBP sejak 20 Januari 2012 yang lalu. Aku menontonnya sebanyak dua kali iaitu pada hari pertama dan hari terakhir pementasannya malam tadi. Sebenarnya aku tidak berniat untuk menulis mengenainya, tetapi atas permintaan ramai serta beberapa orang sahabat, maka aku gagahkan juga untuk memberikan sedikit pendapat kerdil ku.
Sebenarnya aku tidak datang untuk menonton karya yang dipentaskan, sebaliknya aku datang untuk melihat gaya lakonan pelakon yang terlibat seperti Pekin Ibrahim, Mislina Mustafa dan Dira Abu Zahar. Kerana secara jujurnya aku bermasalah dengan karya 'KAMPUNG CHETEK' dan 'JUE & MEO'. Dan aku adalah orang yang ditawarkan untuk membawa watak Meo dalam naskah 'Jue & Meo', sebelum aku menolaknya dan menyarankan watak itu diberikan kepada sejiwa ku, Pekin Ibrahim. Penolakan aku, bukan kerana aku tidak sudi bergandingan dengan Mislina Mustafa (*hanya orang bodoh menolak untuk berlakon dengan Mislina*), tetapi aku tidak dapat menerima naskah ini yang aku anggap sebagi prejudis kepada lelaki, serta mempunyai banyak fakta yang salah dalam pengetengahannya. Lagi pula, aku melihat karya ini adalah penterjemahan angan-angan merbahaya dan sikap curang peribadi sang penulisnya yang bersembunyi disebalik nama ISLAM.
KAMPUNG CHETEK
Monolog : Dira Abu Zahar
Skrip : Sebuah naskah yang jelas memperkatakan tentang sebuah ideologi feminisme yang melampau, jika dilihat dengan dalam dan tersirat. Iaitu meletakkan seluruh kesalahan dalam sebuah masyarakat ke atas bahu seorang lelaki bernama Abang. Di mana semua keenam-enam watak perempuan yang diketegahkan telah melemparkan dialog yang berbau feminisme yang adakalanya sangat menyalahi aqidah Islam itu sendiri. Naskah ini mempunyai cerita dan itu tidak aku nafikan, namun secara keseluruhannya naskah ini dilihat sebagai berat sebelah terhadap lelaki. Terdapat beberapa dialog penekanan yang jelas menyimpang dari aqidah Islam, dan itu bukanlah masalah jika kena pada tempat dan penyuluhannya. Yang menjadi masalahnya sekarang ini adalah, pelempar dialog yang menyalahi ini dicorak atau diletakkan sebagai pemenang dan dizalimi jika dilihat secara teks dan sub teks nya. Perkara ini memerlukan bahasan yang panjang, namun oleh kerana aku telah mengatakan sejak dari awal tadi bahawa aku tidak mahu melihat naskah, maka sekadar itu dulu komentar yang ingin aku lemparkan mengenai skrip naskah ini. Dan kesimpulannya, aku memandang naskah ini sebagai gagal dan boleh menyesatkan. Serta ianya adalah ibarat talam dua muka, jika diukur dari kebiasaan zahir penulisnya.
Lakonan : Lakonan Dira Abu Zahar yang pertama kali mencuba untuk bermonolog dengan 6 watak, sebenarnya adalah satu keberanian dan harus dipuji. Kerana aku sangat memahami bahawa, untuk bermonolog sebuah kisah berat (*walaupun akhirnya memilih jalan selamat dengan dikomedikan*) dengan tanpa bantuan prop yang banyak, ianya adalah suatu hal yang agak sukar sebenarnya. Pada hari pertama pementasan, Dira dilihat kaku dan sangat gementar di sepanjang pementasan, sehingga membuatnya tidak mampu menghidupkan kaitan dan jalan cerita. Lontaran dialognya juga sangat lemah sehingga kebanyakkan penonton tidak dapat mendengarnya dan memahami maksudnya (*jangan at lips banyak sangat ya Dira hehehe*). Namun pada hari terakhir pementasan, aku sangat memuji lakonan Dira Abu Zahar yang aku kira baru bersedia untuk pementasan itu. Lontaran dialognya jelas dan lakonannya berjaya mengikat kaitan antara satu dengan satu watak yang lainnya. Aku tidak segan untuk memberi pujian kepada Dira sewaktu memainkan watak ibu cikgu Esah dan ustazah Peah (*kalau tak silap aku nama wataknya*), kerana ianya aku lihat hidup dan bersahaja. Permainan emosi Dira yang pelbagai juga agak konsisten dari permulaan pementasan sehingga ke akhirnya, dan ini juga harus diberi pujian dan tepukan. Terima kasih Dira, kerana memberi aku ubat pada hari terakhir pementasan 'Kampung Chetek'.
Pementasan : Walaupun hanya dengan kelengkapan prop di pentas yang sedikit iaitu 5 buah kotak dan sebuah mesin taip, serta penataan lampu yang paling minimal dan dikira tidak banyak membantu untuk menghidupkan suasana, namun ianya berjaya membawa beberapa elemen simbolik yang jelas dan tidak sukar untuk difahami. Cuma penonton di kanan pentas sedikit resah menunggu aksi plot watak Dah di awal cerita yang terlindung dengan kotak yang disusun bertingkat sehingga menghalangi pandangan penonton dan hanya dapat mendengar dialog seperti mendengar drama radio. Bahasa kotak yang melambangkan sebagai kongkongan fikiran dan bebanan bagi setiap watak, adalah sesuatu yang ringan dan mudah difahami, sesuai dengan cara penyampaiannya yang bersahaja. Aksi merangkak di bawah kotak bagi memisahkan antara plot dan watak sangat berkesan, namun kemunculan posisi dan tempat duduk watak aku kira kurang sesuai dari segi bahasa pentasnya. Dan aku kira scene akhir Dah memukul anak-anaknya sehingga mati itu aku tidak perlu, kerana itu lebih kepada menyogok penonton yang seharusnya dibiarkan keluar dengan tanda tanya, bagaimanakah caranya Dah membunuh anak-anaknya? Keseluruhannya pementasan kali ini boleh dikira berjaya dan sangat bersahaja, enjoy, dan tidak berat (walaupun berat sebenarnya)!
JUE & MEO
Lakonan : Mislina Mustafa & Pekin Ibrahim
Skrip : Melihat dari tajuknya saja, kita sudah dihidangkan bahawa ini sebuah cerita yang diketengahkan dari sudut kacamata seorang feminisme. Jue & Meo, bukan Meo & Jue seperti tajuk asal karya ini iaitu Romeo dan Juliet. Meletak nama Jue di hadapan dan Meo di belakang tajuk, secara simboliknya sudah menggambarkan bahawa ini sebuah perjuangan feminisme yang jelas. Sekali lagi aku kurang menyenangi karya sebegini, kerana isinya sudah pasti akan menunjukkan bahawa wanita adalah atas segala-galanya. Dan ini terbukti pada permainan di sepanjang naskah ini, walaupun adakalanya terlihat ada sedikit pertikaian dari Meo tentang pendirian Jue, namun diperlihatan pula bahawa Jue akan tetap menang dalam setiap pertikaian dan Meo adalah pesalah. Hal ini juga agak panjang untuk dihuraikan, makanya aku titik kan saja komentar mengenai skrip ini di sini.
Lakonan : Tidak dinafikan bahawa lakonan Mislina Mustafa memang selalu menjadi penyelamat sesebuah karya. Dan dalam pementasan kali ini, Mislina sekali lagi membuktikannya apabila lakonannya memegang watak Jue dilihat lebih besar dari karya yang dipentaskan, bah kan sering menenggelamkan Pekin Ibrahim yang membawa watak Meo. Manakala Pekin Ibrahim sudah mula mendapatkan sentuhan lakonan di pentas teater, dan ini adalah sebuah perkembangan yang sangat baik bagi karier beliau. Secara peribadinya, aku sangat berterima kasih dengan aksi lakonan kedua pelakon ini pada hari terakhir pementasan malam tadi, kerana ianya lebih memberi impak yang sangat dalam kepada rasa penonton. Cuma aku sedikit resah dengan keselesaan antara watak Meo & Jue yang masih nampak berjarak, tidak seperti sepasang kekasih yang benar-benar bersama selama 500 tahun. Namun aku abaikan hal itu, kerana lakonan mantap mereka malam tadi. Terima kasih buat Mislina Mustafa dan Pekin Ibrahim.
Pementasan : Aku suka dengan pementasan yang dilakukan, tidak teruja dengan prop yang mewah, namun lebih menekankan daya permainan pelakon di pentas. Berbekalkan 5 kotak, aku sudah dapat menangkap simboliknya dengan cara susun atur serta tempat letaknya. Berlainan dengan penggunaan kotak yang diketengahkan dalam pementasan Kampung Chetek, penggunaan prop Jue & Meo lebih pelbagai dan lebih kreatif, sehingga dapat menggambarkan suasana tempat di mana scene itu berlaku. Tak perlu tangga, tak perlu tali gantung, tak perlu gunung, bah kan tak perlu kayangan untuk menjelaskannya. Ia lebih realistik dan sedar diri, ditambah dengan cara pelakon berkomunikasi dengan penonton yang akhirnya berjaya membawa mereka masuk sebagai pelakon di dalam pementasan itu. Walau pun ianya seperti terkeluar dari maksud pementasan, namun aku menyukainya, kerana meraikan penonton adalah sebuah tanda harga pelakon kepada penonton yang datang. Itu kelebihannya teater marhaen yang tidak akan ada di IB, yang penuh dengan protokol yang menyakitkan. Namun aku tetap ada sedikit kesakitan dengan penataan lampu, yang jelas tidak mampu mengendalikan kelicikan dan kenakalan pelakon yang selalu bertindak keluar dari kotak kongkongan teknik. Jika ianya mampu mengikuti kegilaan pelakon, aku pasti pementasan itu akan lebih menghiburkan dan berkesan. Namun itu tetap aku maafkan, kerana keseluruhannya aku terhibur!
KESIMPULAN
Pementasan teater 'Aku Manusia Berdosa' aku kira sebagai berjaya, walau aku tahu semua yang terlibat menempuh banyak permasalahan yang tidak sepatutnya sepanjang persediaan untuk mementaskan teater 'Kampung Chetek' dan 'Jue & Meo' ini. Terima kasih patut diberi kepada FAISAL MUSTAFFA dan RAT selaku produser yang begitu komited untuk menjayakan pementasan kali ini. Penghargaan juga harus diberi kepada barisan pelakon yang akhirnya terbukti berjaya melakukan 'sesuatu' walau pun kebanyakkan teknik pementasan didapat pada saat genting sebelum pementasan. Aku yang mengikuti perkembangan persediaan sejak dari awal, secara peribadinya berbangga dengan usaha dan kesabaran semua yang terlibat. Persediaan yang penuh tragis, kesabaran yang sungguh hebat, akhirnya membuahkan sebuah pementasan yang berjaya! TAHNIAH!!!
PENEGASAN
Aku tidak ingin memberikan berapa bintang pada pementasan apa pun termasuk pementasan 'Aku Manusia Berdosa' ini kerana aku tidak berminat tentang itu. Namun aku suka tegaskan bahawa aku bukan pejuang kaum Adam atau Hawa, aku lebih selesa berdiri atas nama manusia. Dan aku juga sangat mengormati dan menghargai setiap karya yang berideologi apa pun, kerana itu adalah pemecahan fikiran bagi yang berfikiran terbuka. Perbezaan pendapat dan pandangan itu sangat bagus, namun jangan sampai membawa kepada peredebatan yang tidak sihat sehinga akhirnya merugikan banyak pihak termasuk diri penggiat itu sendiri.
Dari;
Pondok Anak Jawi.
24 Januari 2012.
This entry was posted
on Selasa, 24 Januari 2012
at 5:51 PTG
. You can follow any responses to this entry through the
comments feed
.
SANG MUSAFIR
- Unknown
SEKALUNG BICARA
Hamba ini beginilah.. Menyusur jalan dan waktu, mengukir wajah kehidupan, bermusafir dari pintu ke pintu, dan menyiram erti damai sejahtera di hati.. Hamba bukan sang raja, hamba juga bukan sang pujangga, hamba hanyalah sang marhaen yang bangkit dari sebuah paduan rasa yang lahir bersama segala niat dalam jiwa..
Hamba tidak tahu.. Yang hamba tahu, hamba tidak dijadikan dengan sia-sia.. Bukan juga dijadikan dari segala sisa-sisa.. Hamba ini hanya berbekalkan kurniaan Tuhan yang melimpahkan Cinta, Kasih dan Sayang-NYA.. Berbekalkan segenggam perjuangan yang harus disempurnakan.. Berbekalkan sebuah ikrar rahsia yang sejak dulu ianya terkhabarkan..
Hamba ini tiada daya dan upaya, melainkan dengan rahmat dan pertolongan ALLAH jua.. Justeru lihatlah hamba andai ianya membawa sebuah kebaikan di sisi Sang Cipta.. Dan nasihatilah hamba andai membawa sebuah keburukan kepada sesamanya..
~ ANAK JAWI ~
Hamba tidak tahu.. Yang hamba tahu, hamba tidak dijadikan dengan sia-sia.. Bukan juga dijadikan dari segala sisa-sisa.. Hamba ini hanya berbekalkan kurniaan Tuhan yang melimpahkan Cinta, Kasih dan Sayang-NYA.. Berbekalkan segenggam perjuangan yang harus disempurnakan.. Berbekalkan sebuah ikrar rahsia yang sejak dulu ianya terkhabarkan..
Hamba ini tiada daya dan upaya, melainkan dengan rahmat dan pertolongan ALLAH jua.. Justeru lihatlah hamba andai ianya membawa sebuah kebaikan di sisi Sang Cipta.. Dan nasihatilah hamba andai membawa sebuah keburukan kepada sesamanya..
~ ANAK JAWI ~
TETAMU
Arkib Blog
-
▼
2012
(22)
-
▼
Januari
(16)
- "..SE-MALAM.." Puisi : Anak Jawi Berkaca genanga...
- "..DARI SEBUAH RASA.." ..Sakit Bukan Penghalang Ri...
- "..DARI SEBUAH RASA.." ..Cinta Itu Ada.. ...Situa...
- "..JALAN SUFI.." ..Lantunan Munajat.. TUHAN.. h...
- "..NGOK-NGEK 2.." ..Jangan Meroyan, Kawan atau PUA...
- "..JOM SENI.." ..Teater : Aku Manusia Berdosa.. ...
- "..DARI SEBUAH RASA.." ..Beratnya Sebuah Perasaan ...
- "..NGOK-NGEK 1.." ..Apa Punya Bangang Ni..? ".....
- "..JALAN SUFI.." ..Aku Dan Guru Sufi.. ...Kisah 1...
- "..DARI SEBUAH RASA.." ..Bintang Menjadi Saksi.. ...
- "..JOM SENI.." ..Berita Dari Yahoo Malaysia.com.....
- "..DARI SEBUAH RASA.." ..Hamba Ini Hanya Menyataka...
- "..SYAIR MERINDU.." Hening subuh - memanggil rin...
- "..HAMBA INI BEGINILAH.." Aku ini bukan siapa-si...
- ..Hamba ini hanyalah pejalan yang menuju keabadian...
- SALLI WA SALLIMSALLI WA SALLIM DAA-IMAN ‘ALA-AHMAD...
-
▼
Januari
(16)
© all rights reserved by ANAK JAWI. Dikuasakan oleh Blogger.