Posted by Unknown

"..HAMBA INI BEGINILAH.."


Aku ini bukan siapa-siapa.. Dan hingga sekarang pun aku tidak tahu mengapa orang-orang itu melihat ku dengan memuja.. Kerana bagi ku, aku hanyalah seorang pejalan yang sedang mengisi takdir di dunia semata.. Dan satu masa nanti, aku akan mengakhiri jalan ini dan kembali semula ke alam asal mula ku..

Kehidupan ini hanyalah untuk menjalani takdir, dan aku hanyalah secebis dari takdir-takdir itu. Begitu juga kamu dan semua mereka-mereka, tanpa takdir kita tiada apa-apa.. Aku hanya menjalani apa adanya. Dan aku tidak ingin meminta lebih dari apa yang menjadi takdir ku. Itu aku, dan aku tidak tahu kamu.. Cuma, aku ingin mengecapi kebahagiaan dan kesejahteraan dari setiap takdir-takdir ku itu. Hanya itu..

Namun, apabila takdir ku dan takdir mu bertemu menyatu, di sinilah kemanusiaan ku mula bertamu. Kita mengukir sebuah takdir baru, takdir yang belum tentu menjanjikan syahdu.. Takdir yang entah suka atau duka, entah bahagia atau derita, tak siapa pun di antara kita dapat menentukannya. Namun aku harus menjadikan takdir-takdir itu sebagai pelajaran dan pengalaman untuk aku lebih mengenal diri ku. Untuk aku mengenal takdir mu, dan menjadikan yang terbaik buat kita semua. Begitulah aku.. Begitulah aku melihat takdir itu..

Aku bersyair, aku menulis, aku menyanyi, dan aku melakonkan watak-watak bukanlah untuk dilihat sebagai mahsyur dan hebat.. Aku hanya ingin berkongsi sama, agar kita dapat saling mengisi dan melengkapi. Agar kita dapat saling mengerti dan memahami. Agar kita dapat saling menerima dan memberi..

Itulah aku, yang tak terkhabarkan dalam tersurat. Yang jarang sekali untuk engkau dan mereka-mereka mengerti dan melihat.. Aku menangis, aku merintih. Dan airmata ini ku benam dalam, walau adakalanya terlepas jua di alam kenyataan.. Namun, itulah takdir ku. Dan itulah yang sering mengulangi perjalanan takdir ku.. Itulah aku, yang sedang berjalan di pentas dunia yang hakikatnya bukan penentu. Demikian juga kamu dan mereka-mereka itu, semuanya mempunyai suatu takdir yang menjadi satu.. Dan adakalanya satu dengan ku..

Dari sebuah bicara dalam ku..

"..Hamba ini beginilah.. Hamba hanyalah pejalan yang menuju keabadian. Dan saat ini hamba sedang berada di persinggahan musafir.. Mencorak takdir, menapak erti dan merindukan asal.. Wadah ini adalah perkongsian dan pedoman jalan.. Dan hamba ini beginilah, hanya sebuku kisah musafir dan kehidupan Sang Pejalan yang bernaluri seorang INSAN.." ~Anak Jawi~



Nukilan;
Pondok Anak Jawi.
19 Januari 2012

This entry was posted on Khamis, 19 Januari 2012 at 7:04 PTG . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan