Posted by Unknown

"..DARI SEBUAH RASA.."
..Badai Pun menjelma..

...Situasi 9...


Aku ingin menjerit! Biar seluruh bandar Kuala Lumpur tahu bahawa aku sedang sarat menanggung rindu. Walau saat ini aku sedang berbahagia dengan CINTA Sang Permaisuri Rindu, namun dalam hati ini seperti terhimpit batu-batu keras yang mendesak aku untuk terus merasa resah dan bimbang terhadap Sang Permaisuri. Sakit, tapi aku berbahagia dengannya. Sakit, tapi aku tetap berteguh dengan rasa CINTA ku padanya.

Rindu. Rindu ini seperti tidak pernah hilang. Malah semakin bergeraknya saat masa berlalu, rindu ini semakin mencengkam di dalam kamar kasih sayang hati ku. Ingatan pun mengimbau kenangan. Kenangan saat Sang Permaisuri merebahkan kepalanya di atas ribaan ku, dan aku menatap dalam ke dalam matanya. Indah. Taman perasaan di dalam matanya sangat indah. Dan aku melihat ada seribu cerita di dalam taman matanya. Namun aku masih tidak tahu cerita apakah yang disembunyikannya. Akan aku tunggu saatnya Sang Permaisuri Rindu meluahkan segala yang tersembunyi dalam perasaan.

Semalam, badai pun menjelma luka dan melemaskan. Dalam. Lukanya sangat memedihkan seluruh rasa perasaan. Namun aku tetap berusaha untuk tidak meresahkan Sang Permaisuri saat melihat wajah ku. Senyuman di bibir tetap ku lakarkan untuknya. Kerana aku tahu, bahawa Sang Permaisuri juga sedang dalam dilema antara dua pilihan kehidupannya. Dan aku tidak sanggup untuk menambahkan lagi dilema di dalam kotak fikir dan samudera rasanya, walau pada hakikatnya aku sangat menderita dengan khabar berita itu. Aku tidak ingin kehilangan Sang Permaisuri, dan aku juga tidak ingin Sang Permaisuri berkorban seluruh kehidupannya yang ada semata-mata kerana CINTA ku. Namun, jika Sang Permaisuri sanggup mengorbankan semua itu, aku akan mengharamkan segala sakit dan derita singgah ke dalam hatinya. Dan aku akan menghimpunkan segala rasa bahagia dan sejahtera yang ada, sebagai ganti kehilangan yang dirasakannya.

Dulu, Sang Permaisuri pernah menanyakan aku tentang apa itu CINTA. Dan Sang Permaisuri sangat ingin melihat atau merasakannya. CINTA itu kini sudah dapat dirasakannya, namun belum terlihat oleh mata dan jiwanya. Sedikit itu ku berikan, kerana Sang Permaisuri masih belum benar-benar bersedia untuk menangkap seluruh erti CINTA yang aku kecapi. Sang Permaisuri masih berada diperbatasan pantai samudera CINTA dan tidak berani untuk belayar karam ke dalamnya. Dan aku mengerti mengapa itu bisa terjadi. Justeru saat badai itu menjelma, Sang Permaisuri tidak dapat merasakan apa yang aku rasakan. Namun aku tidak menyalahkannya, kerana aku tahu bahawa Sang Permaisuri masih diseliputi kabus tebal di dalam tekadnya.

"..Sayang, saya akan dijodohkan dengan seorang lelaki pilihan keluarga.." kata-kata itu seperti menghantui ku sampai saat ini. Membekas dalam. Membekaskan derita dan resah yang sangat panjang.

Aku hanya terdiam sejenak waktu. Kelu. Lidah ku kelu tanpa bicara. Namun hati ku menjerit sakit, derita dan kecewa. Hanya Tuhan yang tahu betapa sakitnya luka di hati ku saat ini. Aku berjalan di gigi tasik saksi. Berdiri dan membiarkan airmata ku tumpah membasahi wajah ku. Aku tidak ingin Sang Permaisuri melihat airmata ini mengalir. Justeru aku menjauhkan diri pada saat itu. Biar saja aku menanggung sendiri semua kesakitan ini. Aku tak ingin Sang Permaisuri turut merasakannya. Biarkan aku saja. Tasik saksi di depan ku menjadi bukti bahawa hakikatnya luas tasik ini tidak akan dapat menakung airmata ku saat ini jika ia terus tumpah mengalir.

"..Sayang.. Jika kau menyelami ke dalam hati ku saat itu, pasti engkau tahu bahawa aku sudah tidak berada di dunia ini saat itu. Aku sudah berada di suatu alam kematian yang meresahkan. Suatu alam yang didiami para Pencinta CINTA yang tidak kesampaian. Dan aku akan tetap bahagia dalam keresahan di sana, jika engkau berbahagia di dunia mu. Sayang, aku akan melepaskan mu, jika engkau ingin menurut kemahuan keluarga mu. Dan biar saja aku membawa hati ini berkelana di perbatasan perjalanan sehingga sampai akhir nafas ku.."

"..Sayang.. CINTA ini hadir dari Tuhan ke dalam hati ku. Dan aku tahu Tuhan tidak menghadirkan rasa CINTA ini jika tidak untuk membahagiakan mu. Namun, apakah engkau mengerti semua itu? Sayang, jika nanti aku pergi, jangan engkau mengira aku berpaling. Kerana CINTA, apabila ia dihidupkan, ia tak akan pernah mati. Abadi dan tak akan pernah menghilang. Keabadian CINTA ini, akan aku bawa ke alam sana, saat aku kembali menghadap Sang Pemilik CINTA.."

Wajah Sang Permaisuri ku tatap sepenuh kasih. Aku melihat keresahan dan keserabutannya, walau cuba disembunyikan. Aku tahu Sang Permaisuri membenci kesedihan. Aku tahu Sang Permaisuri sedang mengharap agar aku memberikan padanya secebis rasa kebahagiaan di saat itu. Aku harus melakukan sesuatu untuk membahagiakan dan meredakan badai ombak ganas di dalam hati Sang Permaisuri. Aku HARUS!!!

Aku mengajak Sang Permaisuri beredar dari tasik saksi. Aku tahu tasik saksi tidak akan dapat memberikan kebahagiaan itu. Aku harus menuju ke sebuah tempat yang lebih sunyi dan terasing, agar aku dapat membelai dan memanjakan Sang Permaisuri demi mengisi bahagia dalam hatinya. Dan aku hanya melihat suatu tempat yang harus aku tuju bersama Sang Permaisuri. Aku harus membawanya ke sana. Akan aku peluk erat tubuh Sang Permaisuri, agar dia tahu bahawa aku dekat dan masih bersamanya. Di sana, akan aku berikan nafas CINTA ini, agar ianya menyatu lekat ke dalam seluruh rongga tubuh Sang Permaisuri.

Siang pun berlalu. Aku masih sendirian di dalam keramaian teman-teman di pejabat ku. Aku menghubungi Sang Guru untuk meminta petunjuk dan nasihatnya. Dan Sang Guru selalu meredakan badai dalam hati ku. Kata-katanya sangat mendamaikan dan menghujani kesejukan ke dalam hati ku. Pesan Guru pun asyik bermain di dalam kepala ku. Pesan itu ku genggam. Katanya, kalau dia mencintai ku, nescaya dia akan tetap berjuang bersama ku. Dia akan terus berusaha untuk memiliki ku dan bertekad menjadikan dirinya milik ku. Kerana dengan CINTA, manusia akan sanggup melepaskan segala yang ada. Dan tanpa CINTA, kehidupan manusia akan menjadi tiada berharga.

"..Anak ku, fahamilah kata ku ini. CINTA itu adalah hakikat yang tak pernah tersentuh syariat. Dan ketahuilah bahawa tiap-tiap syariat itu adalah penterjemahan hakikat semata jua adanya. Tanpa hakikat, syariat akan membawa kerosakan dan kesengsaraan. Maka engkau harus berani melewati syariat itu, demi mencapai hakikat CINTA mu. Dan engkau harus tahu, bahawa itu sangat bersalahan dengan norma kehidupan dan budaya kehidupan manusia di sekeliling mu. Justeru, persiapkanlah diri mu untuk di hukum cela oleh manusia, dan tetaplah engkau berbahagia dan sejahtera di dalam CINTA.." begitu pesan Guru.

"..Anak ku, bawalah Sang Permaisuri mu ke langit. Di sana, khabarkanlah CINTA antara engkau dan dia kepada Sang Pemilik CINTA. Dan rebahkanlah, sehingga engkau dan dia menyatu dalam CINTA dan keyakinan. Jalannya hanya satu, kerelaan. Bawalah Sang Permaisuri mu ke alam kebahagiaan itu dengan penuh kerelaan. Jangan resah, kerana hakikat CINTA itu tidak pernah terbataskan segal rupa syariat yang dicemari tangan-tangan manusia yang ber-tuhankan duniawi. Lakukanlah anak ku.." tambah Guru.

Begitu ku khabarkan kepada Sang Permaisuri, dan bertanyakan tentang kesanggupannya, ternyata Sang Permaisuri masih berbahagi rasa. Sang Permaisuri sanggup sekiranya aku bisa meyakinkannya bahawa aku tidak akan pernah melukakan dan menghancurkan hatinya. Dalam bisik hati ku, aku berjanji akan memenuhi keinginannya, dan aku sejak dari mula mengenalnya sudah berusaha untuk itu. Aku ingin sekali membahagiakan Sang Permaisuri. Namun badai itu datang dan telah merobohkan keyakinannya terhadap CINTA ini.

"..Sayang, kebahagiaan itu ada di dalam hati murni. Hati yang dapat merasakan hakikatnya dari CINTA. Dengan begitu, suatu saat kebahagiaan luhur itu akan menjelma dalam rasa hati. Dan kita harus bersabar serta berteguh tekad. Renungkanlah, Sayang. Umpama nafas yang mengalir masuk ke rongga tubuh tanpa henti, kerana berhenti bererti mati. Dalam kehidupan, badai akan datang bersilih ganti. Kerana badai adalah dugaan kehidupan ini. Dan kita apabila melewati badai itu, harus terus berjalan, bukan berhenti atau mengalah. Dan untuk terus merempuh membelah badai itu, kita hanya memerlukan dua pendayung iaitu CINTA dan KEYAKINAN. CINTA yang menjadi Roh dan nyawa. KEYAKINAN yang menjadi ikhtiar dan perbuatan. Sayang, lihatlah para pemuja CINTA. Dia tidak akan pernah merasa takut disakiti dan dilukai. Tak akan pernah tewas walau dihinakan dan ditinggal pergi. Kerana para pemuja CINTA, adalah abadi. Sayang, apakah engkau bisa dan sanggup bersama ku untuk merempuh badai itu?.." bisik dalam hati ku.


"..Sayang, aku tidak menjanjikan kemewahan harta yang berlimpah ruah buat mu. Namun aku menjanjikan CINTA, KASIH dan SAYANG yang tak pernah padam terhadap mu. Kebahagiaan dan kesejahteraan adalah terangkul di dalam ketiga-tiga pengertian itu.." bicara airmata ku.

"..Sayang, aku hanya ingin memanjakan dan membahagiakan diri mu selagi ada nafas ku. Namun jika itu tidak kesampaian, akan aku bawa seluruh CINTA dan keinginan ku ini bersemadi bersama ku nanti. Bersemadi dalam keabadian ku di tempat tujuan.. Di sana, aku yakin sinar itu akan menerangi taman kebahagiaan dan kesejahteraan hakiki. Sayang, Bisakah engkau mengerti semua ini? Bisakah engkau membelah badai gelora itu bersama ku demi CINTA ini? Bisakah engkau membenam dalam segala keraguan mu terhadap sucinya CINTA ini?.."

Sebening subuh itu, aku berjuang melakarkan indah bersama Sang Permaisuri. Bergantian nafas menyulami nafas CINTA. Mendayung badai samudera penghalang. Belum reda badainya, kerana Sang Permaisuri masih menciptakan jarak. Dan aku tidak akan menyalahkannya. Kerana aku tahu Sang Permaisuri masih belum berani melewati kezahiran. Belum bertekad untuk membelah badai ciptaan manusia di sekelilingnya. Aku mengerti, dan aku tdak akan memaksakannya. Kerana CINTA tidak berharga tanpa keyakinan dan kerelaan. Justeru aku harus berjuang sendiri menongkah badai ciptaan manusia itu, dan membiarkan Sang Permaisuri beristirehat indah di kamar puteri. Jika itu kebahagiaan baginya, itu sudah cukup menjadikan aku juga turut berbahagia. Atau aku harus melangkah pergi meninggalkan semua ini!

Aku memandu kereta ku tanpa arah tuju. Aku ingin pergi jauh. Aku ingin melepaskan seluruh kesakitan ini. Aku harus pergi. Pergi bersama CINTA suci ku di hati. Apakah Sang Permaisuri akan bersama ku pergi meninggalkan semua ini..

"..Sayang, yang aku tahu, aku hanya punya CINTA. Dan aku tahu, dalam sujud ini, Tuhan merestui dan bersama CINTA ku. Sayang, dari paduan nafas CINTA kita yang menenggelamkan kita ke alam jiwa, di sanalah leburnya segala derita dan sengsara. Dengan suara rintih tanpa kata, kita menyelam dalam menuju ke dasar sejahtera. Bila sampai ke dasarnya, di sanalah kita akan menemukan bahagia. Sayang, aku tidak meragukan mu sebagaimana engkau meragukan diri ku. Kerana CINTA ku sudah meleburkan segala keraguan dan ketakutan ku. Ibarat air dari pergunungan menuju ke samudera, aku membiarkan diri ku menjadi penghilang dahaga mu. Jika nanti engkau melepaskan, aku akan terus mengalir dalam kesendirian ku. Kerana bagi ku, Hidup itu CINTA yang melakarkan Kasih Sayang dalam kehidupan..


Sayang, engkau sering bertanyakan kepada ku mengapa aku memilih mu. Jawapan ku hanya satu, kerana engkau berada dalam hati ku. Berada di sebuah singgahsana dalam jiwa ku. Dan aku tak pernah peduli segala kekurangan mu. Yang aku tahu, perhubungan itu adalah saling melengkapi. Saling memahami dan saling memenuhi. Apa yang harus di jalani hanyalah YAKIN dalam berusaha dan berbuat dengan sepenuh rasa CINTA yang menjadi Roh dan nyawa..


Sayang, aku ingin melihat engkau menangis. Aku ingin mengesat airmata mu dari mengalir. Dan aku ingin mengisi kesepian dan kesedihan mu dengan CINTA ku. Jika itu aku dapati, aku rela sekiranya nafas ku ingin berhenti. Dan aku akan kembali dengan penuh syukur di sisi Ilahi..


Sayang, apakah yang engkau rasakan saat bersama ku? Dan apakah pernah itu engkau rasakan sebelumnya?.."

Sampai waktu, aku harus pergi jika itu yang Sang Permaisuri ingini. Namun jika Sang Permaisuri ingin aku terus berada di sini, dalam perhubungan CINTA ini, aku akan tetap terus berada di sisi....... Dengan CINTA, KASIH dan SAYANG ku........


...bersambung...

 

Posted by Unknown

"..DARI SEBUAH RASA.."
..Beratnya Sebuah Rindu..

...Situasi 8...



Rindu. Rindu yang bersarang dalam hati ku saat ini seperti akan memecahkan jantung ku sebentar lagi. Dalam kesendirian sebegini, aku teringatkan tasik saksi yang menjadi medan antara aku dan Sang Permaisuri memadu erti. Terasa hati dan kaki ini terpanggil untuk ke sana saat ini, namun aku tahu jika aku ke sana, pasti aku akan lemas lagi.

Aku merenung bintang-bintang di langit, menyuarakan padanya bahawa aku sangat merindui Sang Permaisuri saat ini. Dan aku berharap, Sang Permaisuri juga sedang merenung bintang yang sama dan mendengar suara kerinduan ku ini. Sayu, syahdu. Lembutnya selembut nafas yang menjalar ke dalam tubuh ku dengan tanpa terasa. Namun ada. Ianya menyatu dalam seluruh nafas dan rongga tubuh ku, merasakan sebuah kebahagiaan di sebalik perasaan rindu ini.

Aku tak akan menahan airmata ini mengalir. Mengalirlah. Mengalirlah sehingga seluruh tanah hati ku basah dengan Cinta, Kasih dan Sayang ku terhadap Sang Permaisuri. Mengalirlah sehingga ianya menyentuh rasa seluruh alam yang menjadi saksi ini. Mengalirlah sehingga ianya meresap masuk ke dalam perasaan dan jiwa Sang Permaisuri Rindu. Mengalirlah. Aku tidak akan pernah menahannya. Mengalirlah. Dan aku tidak akan pernah untuk menyesalinya.

Berat. Rasa rindu ini terlalu berat. Rindu yang sarat dengan kasih sayang, di mana langit sendiri pun tidak akan mampu untuk menanggungnya. Luas. Rindu ini sangat luas. Rindu yang terhampar luas sehingga bumi ini pun tidak dapat menampungnya. Namun siapakah yang mengerti pada rasa rindu ini..? Siapakah yang sanggup untuk memikulnya bersama ku..? Sang Permaisuri. Itulah yang aku harapkan. Sang Permaisurilah yang ku harapkan memikulnya bersama ku. Namun, apakah Sang Permaisuri akan sanggup bersama ku..?

Sang Permaisuri kini berada jauh dari sisi ku. Namun aku yakin, bahawa dia sedang menatap bintang yang sama seperti ku. Bintang yang bercahaya itulah saksi rindu ini. Bintang yang indah itulah pengukuh semangat di hati, bahawa suatu waktu aku akan dapat juga duduk bersama Sang Permaisuri lagi. Mungkin beberapa saat lagi, atau mungkin beberapa hari lagi, atau juga mungkin beberapa minggu lagi. Aku akan tetap sabar menanti.

Sungguh, ada suara yang tidak mampu aku khabarkan. Dan itu biarlah aku sendiri yang menanggungnya sehingga sampai waktu. Yang penting bagi ku sekarang, aku ingin Sang Permaisuri berbahagia dan lepas dari segala rasa sakit derita. Itu lebih besar dari kesakitan ku. Itu lebih utama bagi ku.

Dingin. Kedinginan ini semakin memberatkan rasa rindu ku terhadap Sang Permaisuri. Satu demi satu kenangan sejak dari pertemuan ku dengan Sang Permaisuri bertamu di ruang mata rasa ku. Suka, duka, bahagia dan derita, tawa dan airmata yang menghiasi takdir aku dan Sang Permaisuri menjadi penawar rasa rindu ini. Di sini, aku sendiri bertemankan bayangan Sang Permaisuri di sisi.........


...bersambung...

 

Posted by Unknown

"..JALAN SUFI.."
..Pelajaran al-Rumi..


Seketika dalam semedi ku, aku didatangi Jalaluddin al-Rumi.. Dalam batin ku jugalah Ia-nya bersembunyi Diri.. Sosoknya ibarat seorang pemuda yang tampan tidak terperi.. Tuturnya lembut membelai ke dalam jiwa ku yang kasat mata maknawi..

AL-RUMI :-

“..Wahai Seniman Sufi, perdengarkanlah dengan telinga batin mu.. Dan leburkanlah nyanyian ku ini sehingga ke dalam jiwa rohani mu.. Ketahuilah, bahawa inilah mara bahaya yang sedang membelenggu para seniman dan pemikir kesenian di zaman mu..”

AKU :-

“..Aku sedang mendengarnya, wahai Sang Air Hidup (Al-Rumi).. khabarkanlah.. Aku sedang memberikan perhatian ku..”

AL-RUMI :-

“..Sesungguhnya bagi seorang seniman atau pemikir, kehalusan puisi, kelembutan dalam bait kata-kata, keindahan dalam irama melodi, dan kesempurnaan dalam menggambarkan sesuatu, adalah merupakan sebuah sarana penyampaian filsafat-nya yang dalam dan penuh dengan makna tersembunyi.. Melalui sarana itu, maka mereka akan lebih mudah meresapkan sesuatu masuk ke dalam jiwa manusia sekitarnya.. Bah kan, ianya sangat berpengaruh dalam segenap lapisan masyarakat..”

AKU :-

“..Lalu di mana kesalahannya, wahai Sang Air Hidup (Al-Rumi)..? Khabarkanlah pada ku yang fakir ini.. Agar aku lebih jelas dalam menjalani masa keberadaan zahir ku ini..”

AL-RUMI :-

“..Wahai Seniman Sufi, perhatikanlah kata-kata ku ini.. Sesungguhnya seluruh ilmu ciptaan manusia dan hikmah yang berkiblatkan kepada Yunani dan barat, hanya akan membuatkan seseorang menjadi semakin jauh dari kebenaran Allah, serta hanya akan mengakibatkan manusia menjadi semakin bodoh, tertipu, terbelenggu, dan hanya mengagumi dirinya sendiri.. Ketahuilah bahawa itu semua hanyalah kulit yang kosong dan hampa.. Barangsiapa yang sangat mendambakan kebahagiaan hakiki, maka hendaklah dia menjauhi filsafat Yunani dan barat, walau kebanyakkan orang justeru menganggapnya sebagai hikmah.. Ini adalah kerana semua filsafat Yunani dan barat hanyalah sebuah hasil dari khayalan dan gambaran akal mereka, serta tidak memperolehi sinar cahaya DZAT MAULANA YANG MAHA AGUNG.. Hasil filsafat dari khayalan dan gambaran itu hanyalah terbit dari prasangka dan rasa keraguan yag dibenarkan, dan merupakan satu dari halangan terbesar menghalangi kedekatan manusia dengan Tuhan.. Inilah mara bahaya besar yang sedang berulang kembali menyelubungi dan membelenggu zaman mu..”

AKU :-

“..Sangat benar perkataan mu, wahai Sang Air Hidup (Al-Rumi).. Lalu apakah saran mu pada ku dalam menjalani zaman ku ini, wahai Sang Air Hidup.. Apakah aku harus menukarkan air yang menghilangkan dahaga, dengan cahaya yang menyuluh kegelapan..?”

AL-RUMI :-

“..Itulah sebabnya kenapa para Nabi diturunkan.. Kemudian disambung oleh para Waliullah.. Sehinggalah sampai ke zaman mu, dan engkaulah yang sedang memikulnya.. Iaitu menukarkan air yang menghilangkan dahaga, dengan cahaya yang menyuluh kegelapan.. Ada pun hikmah yang diajarkan para Nabi dan para Waliullah, adalah merupakan sebuah hikmah yang hakiki.. Kerana hikmah yang diajarkan itu memperolehi sinar dari DZAT MAULANA YANG MAHA AGUNG.. Siapa saja yang mendapatkannya, maka dia benar-benar memperolehi banyak kebajikan dan kesejahteraan.. Inilah yang tidak diperolehi oleh ajaran filsafat Yunani dan barat yang mendahulukan kepentingan duniawi semata-mata, serta dengan leluasa membelakangkan Tuhan.. Mereka melebarkan teori dan filsafat melalui urutan dalil pendahuluan, dan mengambil kesimpulan dengan rekaan aqli yang tidak akan pernah mencapai maksud yang diinginkan.. Maka semua filsafat mereka penuh dengan kesempitan dan keterbatasan.. Barangsiapa yang meyakininya, maka terpasunglah dia kepadanya.. Orang yang hidup dengan keyakinan seperti itu akan nampak seperti sempurna, namun hakikatnya mereka berjalan tempang, penuh kesempitan dan keterbatasan.. Wahai Seniman Sufi, dengarkan pertanyaan ku.. Bagaimana engkau melihat air yang menghilangkan dahaga itu..?”

AKU :-

“..Hakikatnya air itu bukanlah yang sebenar-benar matlamat Hidup.. Melainkan sebab lahiriah dari pencorakan kehidupan semata.. Itu masihlah termasuk zahir, yang batinnya adalah Dzat Wajibul Wujud.. Sesungguhnya orang yang terbelenggu dengan sebab lahiriah, maka dia sebenarnya telah mencampakkan dirinya sendiri kepada hal yang memperdayakan dan membinasakan..”

AL-RUMI :-

“..Justeru lihatlah cahaya yang menegak dari atas dan merata ke seluruh hamparan bumi.. Hidup yang menghidupi dalam tarian jiwa rohani.. Yang diiringi gendang dzikir kerinduan alam semesta.. Tabuhlah gendang mu dan kayuhlah sampan mu ke samudera hijau.. Lihatlah ikan-ikan yang beraneka warna dan ragam, namun janganlah engkau terpedaya dengannya.. Di tengah samudera hijau itu, engkau akan melihat cahaya permata tiram yang menyilau terang.. Gapailah, dan bawalah ke zaman mu..”

AKU :-

“..Tunjukkanlah aku jalan ke sana, wahai Sang Air Hidup..”

Al-Rumi menarik tangan ku melintasi seluruh samudera hijau yang menyilau.. Memperlihatkan gedung Ilmu Allah yang terpasak di tengah samudera dalam.. Mengimbangi.. Al-Rumi terus memberikan palajaran.. Dan aku terus melantunkan syair-syair erti..

“Renangilah ke seluruh samudera hijau
Dalam damai sejahtera tarian asyik
Diiringi gendang irama syahdu
Yang menggunung pun akan rebah
Saat terpanggil panggilan Kaabah..”



Nukilan;
Pondok Anak Jawi

 

Posted by Unknown

"..DARI SEBUAH RASA.."
..Bila Cinta Menguji Kasih & Sayang..

...Situasi 7...


"..Pergi mampus dengan semua lelaki!!!.."

Runtuh. Runtuh sudah sebuah kepercayaan Sang Permaisuri. Sehingga seluruh kebahagiaan dan kegembiraan yang dikecapi terkubur mati, ternafi bersama sebuah kemarahan yang bangkit dari jantung zahiri. Dunia rasa indah dan damai yang sebelumnya cerah, menjadi mendung dan berwajah duka. Senyuman yang selama ini menghiasi pertemuan, sudah musnah terbakar oleh api amarah. Lebur bersama sebuah tragedi yang tidak terfahami.

Aku membetulkan duduk ku. Melihat Sang Permaisuri masih terbaring dan hanyut dalam kemarahannya. Wajah ku yang sebelum ini sering dikucupi, sudah tidak ingin ditatapnya lagi. Benci sungguh Sang Permaisuri terhadap ku waktu itu. Seluruh kata-kata harapan, cinta, kasih dan sayangnya selama ini juga turut lebur menjadi debu yang menghilang bersama taufan di hatinya.

Kasih sayang. Seluruh kasih sayang berasal dari Cinta. Cinta yang menjadi awal mula kepada segala kejadian yang ada. Awal mula kepada wujudnya kasih sayang itu juga. Namun kasih sayang yang tidak mengenal Cinta, sering tewas oleh ujian Cinta itu sendiri. Kerana Cinta senantiasa menguji kasih dan sayang sebagai peringatan tentang adanya Ia Cinta.

"..Sayang.. Allah mengadakan lelaki dan perempuan bukan untuk saling menang diri, tetapi menggalas rahsia Nurullah dan Nur Muhammad as-sirri.. Mengapa kita manusia tidak ingin memahami dan mengerti..?" bisik hati ku saat itu, menangis dalam rasa.

Kejadian subuh itu, benar-benar telah membunuh hampir seluruh rasa yang selama ini ku tanam di hati Sang Permaisuri. Ujian Cinta yang tidak difahami dan dikenali itulah yang telah membunuhnya. Namun Cinta tetap suci, tidak sekali pernah terpalit oleh cela kasih sayang yang tidak mengenal asalnya. Cinta tetap murni, tidak tersentuh oleh api kasih sayang yang telah terikat dengan warna-warna dunia semata. Kerana Cinta adalah ganti nama bagi Allah buat pejalan masa dan sufi. Bukan seerti dengan kefahaman manusia yang hanya melihat Cinta sebatas keterbatasan dunia ini. Namun, sebelum sempat aku memperkenalkan Cinta itu kepada Sang Permaisuri, gelora itu telah datang. Datang dan merobohkan rasa kebahagiaan yang baru semalam aku dan Sang Permaisuri kecapi.

"..Sayang.. Apa yang Sayang rasa..?" tanya ku waktu pertemuan semalam.

"..Sayang.. Saya rasa bahagia.." terngiang bisik suara Sang Permaisuri yang baru semalam diucapkannya. Namun hari ini, semuanya musnah.

Aku masih terdiam melihat Sang Permaisuri yang terbaring dengan wajah yang mencuka. Ingin sekali aku memeluk Sang Permaisuri agar aku dapat meredakan kemarahan hatinya. Ingin saja aku kucup bibirnya, agar keindahan semalam dapat dinikmati semula. Namun aku tidak mampu. Aku tidak ingin Sang Permaisuri tersalah faham akan maksud ku lagi. Dan aku biarkan saja keadaan itu berlalu buat seketika lagi. Kerana aku harus mencari kekuatan baru untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.

"..Sayang.. Bangun dan duduk depan saya.." kata ku memujuk. Sang Permaisuri tetap diam membisu. Tak mempedulikan saranan ku.

Aku membiarkannya seketika lagi. Dan aku melihat Sang Permaisuri terus karam dalam api kemarahan dan kekecewaannya. Hati ku terluka melihat keadaan itu. Hati ku terluka melihat Sang Permaisuri bersedih hati. Aku bertekad untuk membahagiakannya, namun hari ini Sang Permasuri terhumban dalam rasa derita. Semuanya salah ku. Aku tidak harus menguji hingga sejauh itu. Dalam rasa ku, aku sesali apa yang berlaku. Dan aku berharap Sang Permaisuri memahaminya.

"..Sayang.. Kalau saya salah, saya minta maaf.." suara ku sebagai penyata rasa dalam hati ku.

Sang Permaisuri menjeling tajam pada ku. Aku tahu Sang Permaisuri belum memaafkan ku. Aku tahu Sang Permaisuri kecewa dan merasa benci terhadap diri ku. Aku tahu, aku sang Marhaen ini sebenarnya tiada sedikit harga pun dalam hati Sang Permaisuri di saat itu. Aku tahu dan aku pasti. Aku tahu bahawa Sang Permaisuri masih tersentuh zahirnya tanpa melihat ertinya batin. Dan aku tidak menyalahkan Sang Permaisuri, jauh sekali untuk aku membencinya. Kerana aku tahu, Sang Permaisuri belum mengetahui. "..Namun begitu, sayang......"

"..Apakah kita sudah benar-benar mengerti bahawa kita sedang hidup di dunia Hayyan yang diseliputi oleh seribu satu rasa dunia yang menyesakkan..? Dan apakah kita sudah benar-benar merdeka dari segala rupa belenggu yang menghalang kita, kasih dan sayang ini untuk mengenali Cinta..? Apakah kita sudah mengenal apakah hakikat dari rasa, karsa, cahaya dan jiwa..? Dan Allah telah berfirman, '..Innallaha yak marukum antum abdul amanati ila ahliha..' Justeru apakah kita sudah mengembalikannya..? Apakah sudah kita kembalikan '..Awaluddin makrifatullah..' itu..? Apakah kita sudah mengembalikan '..Al-insanu sirri wa-anna sirruhu..' itu..? Apakah kita sudah mengembalikan '..Wafi anfusikum afala tubsirun..' itu..? Bah kan apakah kita sudah menyempurnakan '..Alastu bi-rabbikum qolu bala syahideina..' itu..?!!.." jerit hati batin ku, yang tak mampu ku nyatakan. Hanya melalui mata ku, aku bicarakannya.

Mengapa..? Kerana aku tidak mendatangi Sang Permaisuri sebagaimana seorang ustaz menghampiri muridnya. Bah kan aku mendatangi Sang Permaisuri dengan Cinta, Kasih dan Sayang pejalan waktu dan sufi. Aku mendatanginya dengan selebar kasih sayang yang berselimut Cinta yang seluas samudera tak bertepi. Dan kerana itu, Sang Permaisuri menganggap ku sebagai sang pemuja Cinta, tanpa dia mengerti bahawa Cinta itu Ada, dan Cinta itulah Allah.

"..Sayang.. Sayang boleh membenci saya.. Sampai bila pun Sayang boleh membenci saya.. Saya tahu dan yakin bahawa Cinta sedang menguji kasih dan sayang saya terhadap Sayang.. Dan kerana itulah saya harus pergi, kerana saya tak mahu Sayang tenggelam dalam ujian Cinta ini.. Saya ingin Sayang bahagia, dan saya tak ingin Sayang merasa derita atau keliru tentang Cinta, sehingga kasih dan sayang Sayang hilang terhadap sesamanya.. Hilang kasih dan sayang terhadap Sang Adam yang menjadi asal mulanya Sang Hawa.. Hilang kasih dan sayang terhadap Cinta yang mengadakan kasih dan sayang kita serta seluruh umat manusia...... Wahai Cinta, Engkaulah saksi apa yang terjadi saat ini.. Dan Engkau tahu bahawa bukan niat ku sejauh itu.." bisik hati ku dalam jerit rayu kepada Sang Cinta Yang Maha Agung.


"..Sayang.. Bangun dan duduk depan saya.." suara lembut ku sekali lagi singgah ke telinga Sang Permaisuri..

Sang Permaisuri bangun dari baringannya. Duduk lemah bersandar ke dinding. Namun matanya masih tidak ingin menatap wajah ku, apa lagi untuk menatap mata ku saat itu. Sang Permaisuri sudah mencampakkan aku jauh dari hatinya. Ya, itulah yang aku rasakan dan itulah yang aku lihat dari dalam matanya saat sekilas lalu Sang Permaisuri menjeling tajam kepada ku.

Sehari penuh, Sang Permaisuri tidak mahu menghubungi ku. Setiap sapaan ku juga tidak dibalasnya. Aku tahu Sang Permaisuri masih marah dan benci. Aku tahu Sang Permaisuri masih keliru dengan apa yang terjadi. Aku ingin menjelaskan semuanya, tapi aku tahu Sang Permaisuri masih belum mampu untuk menerima pengertian Cinta dengan sebenar-benarnya. Dalam Cinta, kebencian dan kemarahan terhapus sama sekali. Kerana dalam Cinta, yang ada hanyalah kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan. Kerana dalam Cinta, keserabutan duniawi tidak akan pernah dapat menembus masuk ke dalam alam larangan. Aku ingin memberikan itu kepada Sang Permaisuri, namun belum sampai waktu. Saat itu ku nantikan, dan kerana itu aku sering menderita dalam kebahagiaan ku.

Malam ini, di tasik saksi. Aku berjalan sendirian tanpa Sang Permaisuri di sisi. Ku jejak segala kenangan bersamanya semalam, dan hari sebelumnya di sini. Syahdu, airmata menjadi peneman ku saat semua ini terjadi. Menangis. Aku berjalan dan menangis sendirian, sambil terus menyebut nama Cinta ku. Sehingga aku rebah dan terduduk diam di atas jambatan di mana Sang Permaisuri pernah mengucup bibir ku.

"..Sayang.. Sayang jangan campak saya dalam tasik tu ya..?" terngiang suara Sang Permaisuri di telinga ku. Aku menoleh, namun tiada Sang Permaisuri di situ. Aku kembali menatap tasik saksi.


"..Tak, saya tak akan campak Sayang.. Saya yang akan terjun dalam tasik tu sehingga lemas ke dasar mati, kalau Sayang ingin membuang saya ke dalam tasik ini.." suara kecil ku. Dan tasik saksi serta alam ini mendengar bicara ku yang satu ini, malam ini, di sini.

Aku ke bibir tasik saksi. Membasuh muka dan seluruh tubuh ku. Kemudian kembali ke jambatan itu, berdiri, rukuk dan bersujud di situ. Subhanallah, Cinta ku datang dalam jiwa ku merawat segala luka dan derita ini. Cinta ku hadir, sehingga tasik saksi dan seluruh taman ini tenggelam tak terupa lagi. Dan di situlah aku berlawan sabda dengan Cinta yang menyuluh cahaya kebahagiaan sehingga menghilangkan segala derita dari taman hati ku.

"..Wahai hamba Ku, janganlah engkau bersedih hati.. Aku lebih mengetahui apa yang tersembunyi, dan Aku selalu berserta orang-orang yang mengagungkan Cinta-Ku.. Sesungguh jika Aku membukakan Cinta-Ku kepada mereka, nescaya mereka akan menyertai mu dan akan setia bersama mu, sebagaimana engkau setia mencintai Aku.." kalam Sang Cinta Agung.

Puas. Puas aku berlawan sabda dengan Sang Cinta. Namun tidak semua dapat aku khabarkannya sebelum masa. Selama masanya belum mengizinkan, aku terima segala derita dalam kehidupan ini. Kerana aku tahu dan meyakini, bahawa Cinta tidak akan pernah mati walau tubuh ku terkujur nanti. Aku tahu bahawa Cinta akan membuatkan aku hidup abadi walau nanti aku sudah meninggalkan dunia ini. Dan di sini, aku harus tersenyum menjalani seluruh penderitaan yang menghalangi Cinta ku ini. Terima kasih Cinta, kerana Engkau hadir mengubat segala luka dan derita ku malam ini.

Saat aku membuka mata ku, cahaya remang pagi sudah menyuluh terang ke dalam mata ku. Dan aku pulang, dengan sebuah kekuatan baru kurniaan Cinta ku. Tasik dan alam ini yang menjadi saksi..... Dan aku ingin sekali agar Sang Permaisuri sama menikmati kebahagiaan ini......


...bersambung...

 

Posted by Unknown

"..DARI SEBUAH RASA.."
..Melihat Badai Lautan Rasa..

...Situasi 6...


Indah dan bahagia. Pandangan damai pada selebar tasik itu, membuat rasa jiwa ku terbuai di pantai hati masih. Menikmati seluas samudera Cinta, Kasih dan Sayang ku terhadap Sang Permaisuri, aku tidak lagi gentar untuk menghadapi segala rupa kehilangan selainnya. Menatap ke dalam matanya, seperti aku sedang menatap sebuah pemandangan yang indah dari puncak pergunungan rindu. Asyik. Redup dari matanya, sangat mengasyikkan. Redup dari matanya, membawa seribu kisah pilu dalam hatinya yang inginkan sebuah kedamaian. Kedamaian yang dicari dan dijejakinya sejak bertahun lama dulu.

Aku ingin mengubah cerita itu. Aku ingin mengisi hatinya dengan Cinta, Kasih dan Sayang ku. Aku ingin melakarkan kisah-kisah kebahagiaan dan kesejahteraan dalam hati dan seluruh hidupnya. Biar sehingga Sang Permaisuri tahu, betapa luasnya rasa yang wujud dalam dirinya, yang masih belum dikecapi. Biar Sang Permaisuri tahu, bahawa dunia rasa itu adalah inti dari seluruh kehidupan ini. Namun, apakah aku mampu untuk menyatakannya..? Apakah aku mampu untuk memberikan kepadanya segala cita jiwa kemurniannya..?

Malam yang dingin itu, aku memandang sayu ke dalam mata Sang Permaisuri ku. Selebar harapannya diucapkan pada ku, membuat aku tersentuh dan merasa bahawa itulah cita ku jua. Namun sehingga saat ini, aku tidak mampu untuk menyatakannya terhadap Sang Permaisuri. Kerana aku sebenarnya masih tidak pasti, apakah harapan itu disandarkan Sang Permaisuri kepada ku..? Apakah Sang Permaisuri benar-benar ingin mengecapi rasa itu bersama seorang marhaen seperti ku..? Aku terdiam. Dan aku berjalan mencari keyakinan diri. Aku ingin sekali menyatakan hal ini kepada Sang Permaisuri. Aku ingin!

Kebahagiaan! Kebahagiaan yang diharapkan Sang Permaisuri itulah yang aku maksudkan. Kebahagiaan yang tidak tersentuh oleh apa pun kecuali rasa perasaan itulah yang ingin aku mewahkan terhadap Sang Permaisuri. Namun di mana kekuatan ku selama ini..? Di mana kekuatan ku untuk aku sirami Sang Permaisuri denga Cinta, Kasih dan Sayang..? Aku merenung jauh ke hujung tasik saksi. Dengan harapan aku akan mendapatkan kekuatan itu. Dan aku harus menyatakannya. Aku tekad.

Aku memberanikan diri ku untuk merapati Sang Permaisuri. Dada ku bergetar, perasaan ku semakin memintal akal dan fikir ku. Namun entah dari mana datangnya kekuatan itu, aku sudah berdiri di hadapan Sang Permasuri yang masih duduk di kerusi. Sang Permaisuri memandang ku dengan senyuman yang sungguh manis. Tanpa suara. Sang Permaisuri terus memandang ku, seperti menanti dan merestui sesuatu dari ku. Aku merasa semakin kuat, memimpin Sang Permaisuri untuk berdiri, dan memeluknya erat. Sang Permaisuri dengan tanpa berkata apa-apa, perlahan merebahkan kepalanya di bahu ku. Pinggang ku didakap erat, seperti memberitahu bahawa dia tidak ingin kehilangan ku.

"..Sayang.. Saya nak Sayang bahagia, dan saya tak mahu Sayang bersedih.." suara ku perlahan di telinga Sang Permaisuri. Sang Permaisuri mengangguk perlahan dan kembali merebahkan kepalanya di bahu ku. Pelukan Sang Permaisuri semakin erat. Sepertinya meminta kepada ku agar mengotakan apa yang aku ucapkan.

Perlahan aku melepaskan dakapan itu. Sang Permaisuri memandang mata ku dan tersenyum. Kemudian mengalihkan pandangannya ke tasik saksi. Aku hanya menikmati pamandangan itu, melihat Sang Permaisuri yang nampak bahagia dan gembira. Tangannya ku genggam erat, ku cium dan aku mengajaknya berjalan. Aku dan Sang Permaisuri melangkah sambil bergandingan tangan menikmati suasana malam. Di langit, bintang-bintang sudah tidak kelihatan. Dan aku terus memimpin tangan Sang Permaisuri sehingga menghampiri sebuah jambatan di tasik saksi. Aku dan Sang Permaisuri melintasi jambatan dan berdiri ditengahnya, menghadap ke tasik saksi. Menikmati bias-bias cahaya lampu yang menari-nari dipermukaan tasik mengikut alunannya.

"..Sayang.. Sayang jangan campak saya dalam tasik tu ya..?" suara Sang Permaisuri kepada ku sambil tersenyum manis.

Aku tersenyum. Menikmati senyuman manja, hadiah Sang Permaisuri itu. Belum sempat ku menikmati senyuman Sang Permaisuri dengan sepuasnya, Sang Permaisuri memeluk ku erat dan mencium ke pipi ku. Aku dapat merasakan kebahagiaan Sang Permaisuri itu. Kebahagiaan yang aku harapkan kekal bersamanya.

"..Tak, saya tak campak Sayang.. Saya yang terasa nak terjun dalam tasik tu.." kata ku sedikit bersenda.

Kesunyian malam dipecahkan oleh gelak tawa Sang Permaisuri setelah mendengar kata ku yang seperti bodoh itu. Aku sekali lagi menikmati gelak tawanya yang menggambarkan bahawa dia bahagia saat itu. Sekali lagi Sang Permaisuri memeluk dan menghadiahkan sebuah kucupan ke pipi ku. Aku hanya membiarkan, kerana aku hanya ingin Sang Permaisuri bahagia dan gembira. Dan untuk kebahagiaan dan kegembiraan Sang Permaisuri, aku akan melakukan apa saja. Itu tekad ku.

Gerimis yang tadinya turun perlahan, semakin deras. Hujan. Hujan itu membuat aku dan Sang Permaisuri berlari kecil menuju ke sebuah pondok di tepi tasik saksi. Kebahagiaan dan kegembiraan ini, tidak sekali-kali tergugat oleh resahnya hujan yang menyimbah bumi. Semakin lama, hujan semakin lebat mencurah. Sang Permaisuri tidak sedikit pun menampakkan resah. Hanya aku yang resah dan bimbang kalau hujan itu tidak ingin berhenti sehingga nanti cerah.

Namun keresahan dan kebimbangan ku itu tidak sempat menyeruak masuk ke dalam fikir ku. Kerana Sang Permaisuri selalu membuatkan aku tersenyum dan merasa lucu. Tingkahnya yang manja dan nakal, membuatkan aku terlupa semua permasalah yang selama ini membebani kotak fikir ku. Dan di sini, aku hanya memikirkan Sang Permaisuri. Ya, aku hanya ingin berfikir tentang kebahagiaan dan kegembiraan bersama Sang Permaisuri ku malam ini.

Aku dan Sang Permaisuri tidak mati oleh halangan hujan yang turun mencurah. Dari satu kelakuan lucu ke satu kelakuan lucu Sang Permaisuri persembahkan. Dan aku hanya menikmati dan membiarkan Sang Permaisuri larut dalam kebahagiaan itu. Kerana aku tahu, Sang Permaisuri ku tidak pernah merasai saat kemanisan seperti itu. Kemanisan kecil dari warna-warna di dunia marhaen ku.

Semakin subuh. Hujan tetap tidak mahu berhenti. Aku lihat Sang Permaisuri semakin kesejukan dan sering memeluk ku. Aku mengusap tubuhnya agar dapat memberikan sedikit kehangatan padanya. Sesekali, mata aku dan Sang Permaisuri bertatapan rapat. Dan saat itu aku dan Sang Permaisuri saling merasai kehangatan nafas antara kami.

"..Sayang.. Apa yang Sayang rasa..?" tanya ku. Dan itulah yang sering aku pertanyakan pada Sang Permaisuri.

"..Sayang.. Saya rasa selamat bila bersama Sayang.. Saya sayang, Sayang.." lembut suara Sang Permaisuri saat melantunkan kata-kata itu.

Aku tersentak. Jantung ku semakin melajukan detak. "..Saya harap, Sayang akan bahagia bersama saya.. Dan saya akan berjuang untuk kebahagiaan dan kegembiraan mu itu, Sayang.." bisik hati ku sambil menatap ke dalam mata Sang Permaisuri. Sang Permaisuri yang semakin kesejukan, terus memeluk ku dan merebahkan kepalanya di bahu ku. Indah dan bahagia. Itu yang aku rasakan. Dan aku sangat mengharapkan agar Sang Permaisuri juga turut merasakannya.

"..Sayang.. Saya akan terus berjuang.. Berjuang untuk mengisi kebahagiaan dan kegembiraan Sayang.. Kalaulah kebahagiaan dan kegembiraan Sayang itu meminta penderitaan sebagai galang gantinya, saya akan merelakan diri saya yang menderita.. Menderita demi kebahagiaan dan kegembiraan Sayang.." bisik hati ku.

Malam itu, sehingga cahaya suram pagi muncul, aku dan Sang Permaisuri karam dalam melihat badai lautan hati. Dan aku mengharap itulah yang sering terulangi sepanjang hubungan ini. Kerana bagi ku, cukuplah Sang Permaisuri berbahagia. Cukuplah Sang Permaisuri dapat merasa tenang sebelum aku dijemput Yang Maha Esa......


...bersambung...

 

Posted by Unknown

"..JALAN SUFI.."
..Ketahuilah Hati QalbunMu..



HATI itu ibarat Sang Raja-
yang memerintah seluruh tubuh badan kita;
yang ditaati seluruh rakyat jelatanya;
sehingga tidak satu pun yang berbuat selain perintahnya Sang Raja.

Apabila Ia memerintahkan nescaya yang lain akan mematuhinya;
bila HATI memerintahkan tangan menampar-
maka tangan akan mengerjakannya;
bila hati memerintah mulut berbicara-
maka mulut akan mematuhi dengan tanpa bertanya;
begitulah juga seluruh anggota yang lainnya akan patuh padanya.

HATI itu juga dinamakan "Hakikat Ke-aku-an";
iaitu aku yang merasa memiliki segala sesuatu;
Aku itulah sebenarnya Hakikat Insan-
sebagai ganti nama bagi Roh bernama Qalbu;
selama mana Ia dikandung jasad tubuh mati - maka adalah kehidupan ini;
jika sudah bercerai nanti - jasad mati tidak berguna lagi;
maka mereputlah bangkai yang selama ini memang asal mati, sedang mati dan kekal mati.

Maka ketahui-lah HATI mu itu;
Ia-lah yang akan kembali ke negeri akhirat nanti;
Ia-lah yang akan bersatu kembali dengan Dzat-Nya sendiri;
Jika Ia kotor, maka pastilah disucikan terlebih dahulu sebelum menyatu-
dan demikian dinamakan pembalasan atau siksa selepas mati azhorina.

Ia-lah yang di sini menguasai dan menakluki segala makhluk-makhluk abdi;
Ia-lah yang memerintah dan menakluk negara-negara besar mahu pun kecil di dunia ini;
Ia-lah yang dipatuhi oleh seluruh alam semesta tajalli dan azali;
kerana Ia-lah yang menjadi hikmat sehingga alam semesta ini dijadikan;
kerana Ia-lah dijadikan juga syurga neraka, suka duka yang di alami bersilih ganti;
kerana kalau tidak kerana Ia, maka segala makhluk seluruh semesta tidak dijadi.

Ia-lah datangnya dari alam al-amr;
oleh kerana itu Ia akan menyatu lagi dengan Dzat-Nya sendiri nanti;
Ia-lah wujud sebelum alam syahadah ini (nyata semesta);
Ia-lah dihantarkan ke alam syahadah untuk menerima uji bukan menguji;
Ia-lah yang datang dari alam kejadian Tuhan yang menjadi rohani;
Ia-lah yang tidak menerima binasa atau fana selama-lamanya;
Ia-lah yang akan kembali ke alam akhirat;
Ia-lah yang sudah mengenal Tuhan di alam Roh Al-Bani sebelum wujudnya segala wujud nyata ini;
Ia-lah yang mengetahui segala hakikat sesuatu dengan tanggapan Ilmu-Nya;
Ia-lah yang Hidup, Ber-kehendak, Kuasa, Mengetahui, Melihat, Mendengar, Berkata;
Ia-lah rahsia Sifat Ma'ani yang menjadi Maknawiyah kepada jasad tubuh mati bila sebati.

Ia-lah yang digelar Fitrah ALLAH yang sudah mengenali dan mengetahui Agama-Nya;
Ia-lah yang tidak payah belajar atau menelaah kitab di alam Roh Al-Bani;
Ia-lah yang sudah mengenali segala sesuatu sebelum sebatinya di alam syahadah (tubuh jasad);
Ia-lah yang telah dan pernah mengakui dan menyaksikan Tuhan di alam Roh Idhofi;
Ia-lah yang dimaksud di dalam Firman Tuhan di dalam Al-Quran :-

"..Alastubirabbikum qolu bala syahidena.."
Ertinya :~ Bukankah Aku ini Tuhan mu? Mereka menjawab, Bah kan Kami menyaksi.

Ia-lah juga dijadikan sebab mengapa diutuskan para Nabi dan Rasul di muka dunia;
Ia-lah sebenarnya yang diperingatkan oleh setiap Firman Allah dan Sabda Rasul;
Ia-lah yang terhijab dengan Tuhan oleh jasad mati dan hawa nafsu;
Ia-lah yang di sini tersentuh kekotoran dan wajib dibersihkan kembali seperti fitrah-Nya;
Ia-lah yang dimaksud di dalam Firman Tuhan di dalam Al-Quran :-

"..Fitratallah hil-lati fatharan-nasa alaiha la tabadi la li-kholqil lahi dzalikaddinul qoyyim.."
Ertinya :~ Dia-lah fitrah Allah yang dijadikan sesuai pada manusia, tidak dapat diubah-ubah pada kejadian Allah, itulah Agama yang benar."

Ia-lah yang kemudian sesudah sebati dengan akal dan hawa nafsu di alam syahadah (jasad tubuh)-
akan tersentuh dan terbahagi kepada dua iaitu taat dan ingkar;
Ia yang taat itulah nanti yang dinamakan Insan Kamil;
dan Ia yang ingkar itulah nanti yang dinamakan kufur dan kafir;
Ia yang taat akan tetap membersihkan Diri-Nya sebagaimana fitrah;
Ia yang ingkar akan mengotorkan Diri-Nya bersalahan dengan fitrah;
Ia-lah yang dihantar ke alam syahadah dengan maksud ubudiyyah;
Ia-lah yang dimaksud di dalam Firman Tuhan di dalam Al-Quran :-

"..Wama kholaqtul jinna wal-insa illa liya' budun.."
Ertinya :~ Tidaklah Aku jadikan jin (nafsu) dan manusia (hati) melainkan supaya beribadat kepada Aku.

Maka ketahui-lah HATI mu itu;
masuklah dalam memerhatikannya disetiap waktu;
kerana Ia-lah yang akan menjadi akibat dari segala perbuatan mu;
dan Ia-lah yang bertanggungjawab atas segala gerak dan diam mu;
selamatkanlah Ia dengan masuk ke dalam Gerak dan Diam ALLAH;
Janganlah engkau ragu dan janganlah engkau menyekutukan lagi!!!
Janganlah engkau ragu dan janganlah engkau menyekutukan lagi!!!
Janganlah engkau ragu dan janganlah engkau menyekutukan lagi!!!
Serta jangan pula sampai lari!!!!



Nukilan;
Pondok Anak Jawi
1 Februari 2012.

 

Posted by Unknown

"..SE-MALAM.."
Puisi : Anak Jawi


Berkaca genangan airmata hati-
ketika terpejam basyar zahiri;
merasa dalam alir nafas abdi-
terbukalah pintu rahsia tajalli.

Cinta tidak akan dikecapi-
ketika rindu tidak menyeliputi;
rindu tidak pernah dirasai-
ketika hati tak pernah mempeduli.

Se-malam,
ketika nafas sesak mematikan gerak;
fikir terkotak dalam suara tempelak;
gumpalan tangis - meraung melalak.

Se-malam,
ketika rindu memburai terselak;
bicara cinta melaungkan sorak;
di pinggir hati - segalanya nampak.

Siapakah yang berbicara itu?
ketika diam segala kalam maknawi-
meneroka ke seluruh samudera as-sirri;
di dasar karam tempat bersembunyi.

Siapakah yang merasa itu?
ketika lebur segala perasaan-
meroboh angan dan juga khayalan;
di alam tiada yang bernama insan.

Se-malam,
yang karam adalah aku;
terkujur di hujung rindu;
sehingga cinta mengizinkan bertamu.

Se-malam,
adalah ruang kedamaian ku;
musnah roboh segala celaru;
dalam saksi yang berbalut rindu.

Di manakah - se-malam itu?


Nukilan;
Pondok Anak Jawi
28 Januari 2012

 

Posted by Unknown

"..DARI SEBUAH RASA.."
..Sakit Bukan Penghalang Rindu dan Cinta..

...Situasi 5...


Malam semakin pekat. Rindu terhadap Sang Permaisuri semakin mencengkam keras dalam hati dan perasaan ku. Fikiran ku melayang jauh dan mendesak urat-urat kepala ku, berdenyut seperti hati ku yang sedang merindukannya. Entah mengapa, Sang Permaisuri terus membisu. Entah mengapa, Sang Permaisuri seperti ingin menjauhi ku. Marah. Aku tahu Sang Permaisuri bimbang dengan keadaan ku saat ini. Aku tahu Sang Permaisuri sedang mendesak ku untuk tidak mengabaikan diri ku. Aku tahu itu, namun aku belum mampu melawan fitrah ku.

Aku menyelam ke dalam hati ku dan bertanya, salahkah aku..? Salahkah aku merindukan Sang Permaisuri ku..? Salahkah aku mengharapkan kebahagiaan dan kesejahteraan untuk Sang Permaisuri ku..? Salahkah aku menanggung kesakitan ini, demi melihat Sang Permaisuri ku terus melangkah tenang di dalam wadahnya tanpa ragu..? Salahkah aku..? Dan salahkah aku..?!!

Aku ini hanyalah seorang marhaen yang berjalan dengan Cinta, Kasih dan Sayang. Aku tak mengenal sakit, dan aku tak mengenal istirehat. Mungkin itu salah ku, tapi kesalahan itu demi sebuah rasa yang meresap dalam ke dalam jiwa ku. Rasa yang hadir dengan tanpa pinta ku, rasa yang hidup dan menghidupi ku. Rasa! Ia adalah rasa yang tak siapa pun dapat melihatnya. Ia adalah rasa yang dirasai oleh yang merasainya. Rasa!!!

Di keheningan subuh yang datang, ketika kesakitan ku semakin menyerang, bagi rindu dan Cinta itu bukanlah penghalang. Saat itu, ketika Sang Permaisuri bertanyakan tentang Cinta, hati ku tersentuh rasa dan membiarkan genangan airmata mengalir bahagia dalam sejahtera. Indahnya tak dapat ku khabarkan walau dengan karangan seribu bahasa dan kata sebagai jawapan. Alangkah indahnya jika Sang Permaisuri berada di sisi, melihat dan merasai sendiri apa yang sedang aku kalami. Melihat dan merasakan sendiri betapa Cinta itu sebenarnya ada dan berdiri sendiri. Melihat dan merasai, betapa syahdunya cahaya Cinta itu yang penuh rahsia tersendiri.

Kosong. Itu jawapan Sang Permaisuri saat aku bertanyakan kepadanya tentang apa yang dirasa. Aku tahu Sang Permaisuri sedang keliru dan merasa pilu. Aku tahu Sang Permaisuri sedang mencari sesuatu yang selama ini tidak pernah dikecapinya di dalam rasa qalbu. Aku tahu, dan aku pun menangis syahdu. Dan tangisan kali ini adalah buat Sang Permaisuri yang ku rindu. Tangisan ini tanpa suara dan tanpa huruf kata, kerana tangisan ini adalah tangisan sang pejalan masa. Tangisan pejalan masa yang hanya mengenal Cinta, Kasih dan Sayang di dalam hidupnya. Dan aku, si Marhaen ini, adalah pejalan masa itu. Aku adalah pejalan masa yang sedang berselimut suka dan duka, bahagia dan derita. Kerana aku adalah si Marhaen yang menggalas Cinta, kasih dan Sayang itu.

"..Sayang.., sayang di mana..?" tanya ku.

"..Ada kat dalam hati sayang.." jawab Sang Permaisuri Cinta.

"..Sayang.., sayang di mana..?" tanya ku lagi.

"..Sedang mengalir dalam darah sayang.." balas Sang Permaisuri Rindu.

Sang Permaisuri bertanya, "..Sayang.., Cinta itu apa dan bagaimanakah Cinta itu..?".

Jawab hati ku, "..Sayang.., Cinta itu ada.. Cinta itu menyelimuti dan menyeliputi.. Cinta itu adalah cahaya yang menyuluh semua rasa hati.. Cinta itu menyuluh kasih, sayang, roh dan budi.. Cinta itu adalah as-sirri.. Jika sayang menginginkan sebuah kebahagiaan, cukuplah Cinta itu berada di dalam hati sayang.. Kerana selain Cinta, tidak ada yang kekal dan abadi.. Dan sayang harus membenarkan Cinta itu menyelimuti dan menyeliputi hati dan diri sayang.. Dengan begitu, sayang akan dapat melihat hakikat kehidupan dan hakikatnya dunia ini......."

Hening dan bening subuh ini menjadi saksi.. Dan angin nafas ini menyeruakkan seribu erti.. Sedang si Marhaen ini masih bersendirian lagi..., menanti hadirnya Sang Permaisuri...... Apakah itu akan terjadi..? Dalam denyut kesakitan ini, aku masih terus menanti........... Kerana kesakitan, bukanlah penghalang RINDU dan CINTA.........


...bersambung...

 

Posted by Unknown

"..DARI SEBUAH RASA.."
..Cinta Itu Ada..

...Situasi 4...


"..CINTA.. Cinta itu adalah alam di mana seorang insan akan menjadi lupa dan tidak peduli kepada segalanya kecuali terhadap apa yang dicintainya. Karam sehingga tak pernah peduli kehilangan apa saja termasuk nyawanya. Karam dalam lautan bahagia cinta yang menjadi penghubung cinta antara dua rasa. Karam dalam samudera hati yang tak akan pernah dipertemukan pantai penghujungnya. Justeru janganlah sesekali menolak cinta, kerana cinta adalah hakikat.., kerana cinta menyeliputi segala yang ada. Dan tanpa cinta nescaya semua ini tidak ada..., kerana CINTA itu ada.."

Dingin malam ini tidaklah sedingin hati ku. Bah kan kedinginan apa pun tidak akan pernah dapat untuk menandinginya. Kerana kedinginan hati ku saat ini adalah kedinginan kasih.., kedinginan rindu syahdu.., dan kedinginan cinta. Aku tidak pernah memaksa sesiapa untuk mempercayai dan meyakininya, bah kan aku tidak akan pernah memaksa Sang Permaisuri ku untuk merasakannya. Sungguh, aku sangat percaya bahawa cinta itu adalah anugerah yang hanya Tuhan bisa menghidupkannya di dalam hati manusia. Justeru untuk apa sebuah pemaksaan, dan untuk apa memperdagangkan?

Ketika aku menulis di sini, Sang Permaisuri ku sedang berjuang di medannya. Dia sungguh tabah.., sungguh yakin dengan apa yang dilakukannya. Aku? Aku masih tetap berjalan sebagai seorang penulis marhaen.., penulis kecil yang hanya berbekalkan cinta, kasih dan sayang di dalam hati. Adakalanya aku bertanya sendiri, siapa aku untuk mendekati seorang Sang Permaisuri yang hidupnya jauh lebih baik dan sempurna dari ku?

Cinta itu ada.., walaupun aku tahu bahawa suatu saat nanti aku mungkin harus melupakannya. Atau aku akan terus terbenam dalam sebuah rasa bahagianya derita yang bukan aku cipta. Kerana rasa itu bangun dengan tanpa kehendak ku. Dan aku tiada pernah berdaya untuk melawan atau menahannya. Hukumlah aku kerana adanya cinta itu. Hukumlah aku kerana cinta yang bangun dalam hati ku. Hukumlah aku wahai Sang Permaisuri.., hukumlah cinta ini jika itu yang diingini.

Dan malam ini, aku menatap langit yang tanpa bintang-bintang penghias. Sayu, hati ku sayu. Sayu kerana ketika Sang Permaisuri ku sedang berjuang di medannya, aku hanya mampu duduk di meja tulis ku dan berdoa agar semuanya terpelihara dan baik-baik saja. Hanya itu yang aku mampu saat ini.., hanya itu yang aku tahu. Dan cinta itulah yang mendorongnya, kerana cinta itu ada dan menyeliputi. Cinta itu cahaya yang menyuluh segala yang dilakukan ini.

Sudah larut malam. Kepala dan kaki ku merasa sakit kerana pulang tadi petang dengan hanya berjalan kaki sejauh lebih dari 11 kilometer. Sesekali begitu, hati ku merasa tenang kerana tidak terikat dengan apa pun kecuali bebas dan lepas. Sakit kepala dan kaki pun tak dapat menimbulkan rasa penyesalan dalam hati ku. Kerana cinta ini lebih besar nilai dan nikmatnya dari segala rasa dan rupa apa pun. Rasa ini adalah rasa cinta yang tidak tersentuh apa pun kecuali cinta semata. Dan aku bahagia dengan cinta ini.., cinta ini adalah penawarna ketika rindu ku hadir menderitakan rasa hati.

"..CINTA.. Cinta itu tetap ada walau sekuat mana pun manusia menafikannya. Kerana cinta adalah asbab kepada segala yang nyata dan tersembunyi.., kerana cinta adalah cahaya yang menerangi segala kegelapan.., kerana cinta, manusia dapat merasai nikmat berkasih sayang. Kerana CINTA.."

Cinta ini melahirkan sebuah puisi;

"..WAHAI PENCINTA.."

Wahai Pencinta-
janganlah engkau terleka-
pada bisikan nafsu mu menggila;
kerana itulah musuh mu yang nyata.

Suara-suara hati rahsia-
yang tak terpedulikan dalam jiwa;
adalah tanda kebinasaan manusia.

Bertawakallah wahai seluruh para pencinta;
biarkan sabar memenuhi dada;
nanti kan damai menyeliputi rasa;
itulah jalan sejahtera bahagia.

Paduan nafas di kemuncak sulbi-
adalah ruang hidup dan mati;
di sanalah tersimpan kehidupan ini;
sebelum nanti dijemput kembali.

Wahai Pencinta-
yang merunduk dalam cahaya;
ka'abah terbuka di dalam dada;
jangan sekali engkau menutupnya.


...bersambung...

 

Posted by Unknown

"..JALAN SUFI.."
..Lantunan Munajat..



TUHAN..
hamba bersujud di dada malam-
berbekalkan Dzikir Cinta yang dalam;
mengharap redha-MU memperkenan ku datang.
Dengan airmata berlinangkan rindu-
munajat ini hanya dari-MU, bersama-MU, dan kepada-MU;
dakaplah hamba dengan Cinta Kasih dan Sayang-MU.

TUHAN..
bila Roh dan Cinta ku kembali menyatu;
genangan air mata jernih ibarat mata air dari gunung-
mengalir tanpa henti menuju samudera;
membentuk gelora Cinta yang tak terupa.
Memukul pantai hati ku yang penuh kerinduan-
meratap dalam tangisan bahagia-
saat ENGKAU membuka tirai hijab di dada.

TUHAN..
hamba ini datang sebagaimana ENGKAU datang;
dalam sentuhan asyik membelai jiwa rohani;
menyapa Sama' dan Basyar-
yang terupa dalam Kalam Cinta-MU;
hanya-MU ya Rabbul alamin;
hanya-MU ya Allahu Dzatti.

TUHAN..
ku sedar bahawa Cinta bukan terbataskan tubuh;
merata-rata menyatu seluruh cakrawala-
yang disentuh air hidup sekalian alam.
Pada rahsia Qidam dan Baqa-
menyimpul dalam Wahdaniah-MU-
hidup dan mati bukanlah berbeza bagi ku.
Karna dalam Hidup adanya kematian-
dan dalam kematian adanya Hidup yang abadi-
Ya Rabbi..

TUHAN..
ku benamkan segala sakit derita;
dalam nafas dzikir ku temukan penawarnya;
yang mengalirkan Kudrat dan Iradat merata;
atas Ilmu yang menyatakan Hayat bersama-
menyaksikan Wujud-MU yang menyeliputi segala-gala.

TUHAN..
aku memiliki apa yang ENGKAU inginkan;
dalam tangis, ku temukan kebahagiaan;
dalam Rindu, ku temukan kesejahteraan;
dalam Kasih, ku temukan kedamaian;
dan dalam Cinta, ku temukan ENGKAU tanpa silih-
Ya Rabbil lil alamin.

TUHAN..
malam ini aku datang lagi-
dalam sujud munajat yang tanpa henti;
menunggu ENGKAU hadir menyapa ku lagi-
seperti sebelumnya kelangsungan abadi terpatri.
Di sini ku terkurung di dalam tubuh mati;
berjalan di atas bumi sebagai hamba-MU pasti;
berbekalkan rahsia Rohani yang berserta di sisi.

TUHAN..
sentuhlah hati ku dalam sujud abadi;
belailah jiwa ku dalam Cinta Kasih menyeliputi;
menari asyik dalam melodi tajalli;
di atas pelangi cahaya Nur Muhammad terpuji;
menggapai cahaya Nur Allah terperi sejati;
aku bersujud munajat pada-MU ya Rabbi.

TUHAN..
ku sedut nafas MU sekalian alam;
dalam sebut Asma'-MU sirri yang dalam;
dan ENGKAU rebahkan aku ke pangkuan Cinta-
yang setitis itu memenuhi jutaan tahun;
mengkhabarkan Cinta yang tiada terbatas;
di padang, samudera dan langit pun ringkas.
Sedang pintu-MU di Baitul Qalbi;
menyimpan segala rahsia terpendam selama ini;
terpatri abadi tanpa bersilih lagi..




Nukilan;
Pondok Anak Jawi

 

Posted by Unknown

"..NGOK-NGEK 2.."
..Jangan Meroyan, Kawan atau PUAN..



Gedebak..!!! Gedebuk..!!! Gedebuk..!!! Gedebak..!!!

"..Aduh! Jangan meroyan, kawan..!! Ini bukan zaman Mak Bedah mulut tempayan.."

Dia pukul aku..? Wah, bisa juga aku ni sampai seorang penulis yang merasa bernama besar dan hebat macam tu pun boleh terpanggil untuk mempertahankan diri, gara-gara ulasan aku yang aku rasa sangat simple dan like-like je tu.. Tak ada maksud apa pun, apatah lagi kerana sifat PHD (..perasaan hasad dengki..) aku padanya.. Apa barang aku nak berhasad dengki dengan orang yang aku dah tahu luar dalamnya..? Aduh! come-on la kawan, be profesional lah sikit.. Jangan la nak melenting dan meroyan kerana sebab aku tak puji melangit macam orang lain (..yang mengampu je tu..) pasal karya PUAN itu.. Aku suka PUAN tulis ni :

"..Salam.. Saya suka, saya suka.. Terima kasih tuan Wanji yang telah memberi komen.. Tak kenal maka tak cinta, marilah kita berkenalan lebih rapat lagi.. Femenist hanyalah label yang dilabel pada saya.. Kerana itu telah saya tawarkan watak Meo pada tuan, dengan harapan kita boleh bermesra, dan tuan peroleh peluang untuk mengenal saya lebih rapat dengan harapan label yang diberi tidak bias dan prejudis.. Tawaran telah ditolak, bias dan prejudis telah berlaku, maka "gagal dan boleh menyesatkan", "talam 2 muka, sikap curang berlindung di sebalik nama islam" saya kira adalah pantulan dari sebuah cermin, milik tuan.. Salam.."


Aduh! Murninya PUAN.. Berapa ramai lagi la yang nak termakan sifat dan sikap berselindung PUAN tu.. PUAN, sukacitanya saya cakap, saya tahu apa yang berlaku, dan saya tahu bagaimana cara PUAN bersikap dalam menangani sesuatu isu.. Jadi, ada baiknya la kalau PUAN duduk diam-diam dan jangan mengheret ulasan aku tu sampai ke bab peribadi pulak, ye tak..? Dan jangan la PUAN cuba nak meraih simpati orang-orang yang suka mengampu tu jadi benteng pertahanan PUAN, sebab aku tak heran pun.. Meh, aku buka maksud apa yang PUAN tulis di atas :


Puan tulis, "..Salam..". Aku jawab, "..Salam.."
Puan tulis, "..Saya suka, saya suka..". Aku jawab, "..Aku tahu PUAN sangat tak suka.."
Puan tulis, "..Terima kasih tuan Wanji yang telah memberikan komen..". Aku jawab, "..Sama-sama PUAN, yang tak faham apa itu komen, ulasan, pendapat dan kritikan.."
Puan tulis, "..Tak kenal maka tak cinta..". Aku jawab, "..Dah kenal, dan tak mahu cinta pun.."
Puan tulis, "..Marilah kita berkenalan dengan lebih rapat..". Aku jawab, "..Eh, PUAN ada kenalan rapat ke..? Dan PUAN tahu apa nilainya sebuah perkenalan yang rapat itu ke..?"
Puan tulis, "..Feminist hanyalah label yang dilabel pada saya..". Aku jawab, "..Itu terbukti pada karya-karya PUAN.."

Puan tulis, "..Kerana itu telah saya tawarkan watak Meo pada tuan..". Aku jawab, "..Kalau aku terima, 80-90 peratus karya itu akan aku tolak dan ubah.."
Puan tulis, "..Dengan harapan kita boleh bermesra..". Aku jawab, "..Ayat PUAN ni boleh buat Sang Permaisuri aku cemburu dan rosak aqidah.."
Puan tulis, "..Dan tuan peroleh peluang untuk mengenal saya lebih rapat..". Aku jawab, "..PUAN, aku tak perlu rapat untuk berkerja dengan PUAN.. Yang aku perlu adalah kejujuran dan kemanusiaan.."
Puan tulis, "..Dengan harapan label yang diberi tidak bias dan prejudis..". Aku jawab, "..PUAN, ini bukan prejudis, tapi semua karya adalah pemikiran sang pengkaryanya.."
Puan tulis, "..Tawaran telah ditolak..". Aku jawab, "..Itu adalah yang terbaik untuk aku dan juga PUAN.."
Puan tulis, "..Bias dan prejudis telah berlaku..". Aku jawab, "..Kalau pun ada, itu selepas aku menonton pementasan baru-baru ini, bukan kerana PUAN.."
Puan tulis, "..Maka 'gagal dan boleh menyesatkan'..". Aku jawab, "..Aku tidak seorang dalam berpendapat seperti itu.."
Puan tulis, "..'talam dua muka, sikap curang berlindung di sebalik nama Islam..". Aku jawab, "..Jom jumpa, kita muzakarah dan aku buktikan.."
Puan tulis, "..saya kira adalah pantulan dari sebuah cermin, milik tuan..". Aku jawab, "..Ini bukan sebarang cermin yang digilap dengan membaca buku-buku moden semata-mata.."
Puan tulis, "..Salam..". Aku jawab, "..Salam.."..


Aduh! Ngok-ngek betul la PUAN ni.. Penyelarasan dan pengkaitan sebuah karya dengan pemikiran pngkaryanya itu adalah sesuatu yang sangat normal PUAN.. Jangan la nak melenting dan meroyan tak tentu pasal.. Sebab aku tulis tu atas timbangan karya PUAN, bukan PUAN peribadi.. Sebab tu aku awal-awal sebut tak mahu ulas hal naskah, tetapi aku ingin lebih mengulas tentang pelakon-pelakon yang PUAN zalimi sebenarnya.. Hmm, kan dah buka lagi satu hal..? Banyak lagi ni ada dalam poket aku ni PUAN..


Aku tak bongkar apa yang terjadi pun dah kira sangat baik, PUAN.. Tapi PUAN macam tu lah, suka sangat nak cari pasal dengan semua orang.. Dulu dah sekali, aku maafkan.. Sekarang jadi lagi..? Aduh! ke PUAN rasa PUAN dah cukup hebat sampai tak boleh dikritik..? Aduh! Nasib baik la aku fikir panjang dan buat keputusan tolak tawaran PUAN hari tu, kalau tak aku rasa PUAN akan menyesal seumur hidup berkerja dengan aku..


Satu nasihat percuma untuk PUAN ye (..tak payah bayar macam PUAN mintak payment tanpa perlu berkerja dan bertanggungjawab..).. Jangan jadi Ngok-ngek sangat la PUAN ye, dan cepat-cepat cari jodoh ye..? Sebab banyak juga permainan lucah dalam karya PUAN yang buat aku rasa tak selesa duduk dalam stor DBP tempoh hari.. Apakah itu terjadi dengan tak sengaja, kalau tak wujud dalam pemikiran pengkaryanya, PUAN..? Adoooohaaaaiiii, PUAN, PUAN (baca dalam nada menegluh..)..


Ngok-ngek betul la penulis yang sorang ni!!!


Gedebuk..!!! Gedebak..!!! Gedebak..!!! Gedebuk..!!!


Hmmm, kan dah kena sekali lagi, PUAN..? :-)




Nukilan;
Pondok Anak Jawi



 

Posted by Unknown

"..JOM SENI.."
..Teater : Aku Manusia Berdosa..



Berakhir sudah pementasan teater vol. 5 'Aku Manusia Berdosa' yang dipentaskan di stor DBP sejak 20 Januari 2012 yang lalu. Aku menontonnya sebanyak dua kali iaitu pada hari pertama dan hari terakhir pementasannya malam tadi. Sebenarnya aku tidak berniat untuk menulis mengenainya, tetapi atas permintaan ramai serta beberapa orang sahabat, maka aku gagahkan juga untuk memberikan sedikit pendapat kerdil ku.

Sebenarnya aku tidak datang untuk menonton karya yang dipentaskan, sebaliknya aku datang untuk melihat gaya lakonan pelakon yang terlibat seperti Pekin Ibrahim, Mislina Mustafa dan Dira Abu Zahar. Kerana secara jujurnya aku bermasalah dengan karya 'KAMPUNG CHETEK' dan 'JUE & MEO'. Dan aku adalah orang yang ditawarkan untuk membawa watak Meo dalam naskah 'Jue & Meo', sebelum aku menolaknya dan menyarankan watak itu diberikan kepada sejiwa ku, Pekin Ibrahim. Penolakan aku, bukan kerana aku tidak sudi bergandingan dengan Mislina Mustafa (*hanya orang bodoh menolak untuk berlakon dengan Mislina*), tetapi aku tidak dapat menerima naskah ini yang aku anggap sebagi prejudis kepada lelaki, serta mempunyai banyak fakta yang salah dalam pengetengahannya. Lagi pula, aku melihat karya ini adalah penterjemahan angan-angan merbahaya dan sikap curang peribadi sang penulisnya yang bersembunyi disebalik nama ISLAM.


KAMPUNG CHETEK
Monolog : Dira Abu Zahar

Skrip :   Sebuah naskah yang jelas memperkatakan tentang sebuah ideologi feminisme yang melampau, jika dilihat dengan dalam dan tersirat. Iaitu meletakkan seluruh kesalahan dalam sebuah masyarakat ke atas bahu seorang lelaki bernama Abang. Di mana semua keenam-enam watak perempuan yang diketegahkan telah melemparkan dialog yang berbau feminisme yang adakalanya sangat menyalahi aqidah Islam itu sendiri. Naskah ini mempunyai cerita dan itu tidak aku nafikan, namun secara keseluruhannya naskah ini dilihat sebagai berat sebelah terhadap lelaki. Terdapat beberapa dialog penekanan yang jelas menyimpang dari aqidah Islam, dan itu bukanlah masalah jika kena pada tempat dan penyuluhannya. Yang menjadi masalahnya sekarang ini adalah, pelempar dialog yang menyalahi ini dicorak atau diletakkan sebagai pemenang dan dizalimi jika dilihat secara teks dan sub teks nya. Perkara ini memerlukan bahasan yang panjang, namun oleh kerana aku telah mengatakan sejak dari awal tadi bahawa aku tidak mahu melihat naskah, maka sekadar itu dulu komentar yang ingin aku lemparkan mengenai skrip naskah ini. Dan kesimpulannya, aku memandang naskah ini sebagai gagal dan boleh menyesatkan. Serta ianya adalah ibarat talam dua muka, jika diukur dari kebiasaan zahir penulisnya.

Lakonan :   Lakonan Dira Abu Zahar yang pertama kali mencuba untuk bermonolog dengan 6 watak, sebenarnya adalah satu keberanian dan harus dipuji. Kerana aku sangat memahami bahawa, untuk bermonolog sebuah kisah berat (*walaupun akhirnya memilih jalan selamat dengan dikomedikan*) dengan tanpa bantuan prop yang banyak, ianya adalah suatu hal yang agak sukar sebenarnya. Pada hari pertama pementasan, Dira dilihat kaku dan sangat gementar di sepanjang pementasan, sehingga membuatnya tidak mampu menghidupkan kaitan dan jalan cerita. Lontaran dialognya juga sangat lemah sehingga kebanyakkan penonton tidak dapat mendengarnya dan memahami maksudnya (*jangan at lips banyak sangat ya Dira hehehe*). Namun pada hari terakhir pementasan, aku sangat memuji lakonan Dira Abu Zahar yang aku kira baru bersedia untuk pementasan itu. Lontaran dialognya jelas dan lakonannya berjaya mengikat kaitan antara satu dengan satu watak yang lainnya. Aku tidak segan untuk memberi pujian kepada Dira sewaktu memainkan watak ibu cikgu Esah dan ustazah Peah (*kalau tak silap aku nama wataknya*), kerana ianya aku lihat hidup dan bersahaja. Permainan emosi Dira yang pelbagai juga agak konsisten dari permulaan pementasan sehingga ke akhirnya, dan ini juga harus diberi pujian dan tepukan. Terima kasih Dira, kerana memberi aku ubat pada hari terakhir pementasan 'Kampung Chetek'.

Pementasan :   Walaupun hanya dengan kelengkapan prop di pentas yang sedikit iaitu 5 buah kotak dan sebuah mesin taip, serta penataan lampu yang paling minimal dan dikira tidak banyak membantu untuk menghidupkan suasana, namun ianya berjaya membawa beberapa elemen simbolik yang jelas dan tidak sukar untuk difahami. Cuma penonton di kanan pentas sedikit resah menunggu aksi plot watak Dah di awal cerita yang terlindung dengan kotak yang disusun bertingkat sehingga menghalangi pandangan penonton dan hanya dapat mendengar dialog seperti mendengar drama radio. Bahasa kotak yang melambangkan sebagai kongkongan fikiran dan bebanan bagi setiap watak, adalah sesuatu yang ringan dan mudah difahami, sesuai dengan cara penyampaiannya yang bersahaja. Aksi merangkak di bawah kotak bagi memisahkan antara plot dan watak sangat berkesan, namun kemunculan posisi dan tempat duduk watak aku kira kurang sesuai dari segi bahasa pentasnya. Dan aku kira scene akhir Dah memukul anak-anaknya sehingga mati itu aku tidak perlu, kerana itu lebih kepada menyogok penonton yang seharusnya dibiarkan keluar dengan tanda tanya, bagaimanakah caranya Dah membunuh anak-anaknya? Keseluruhannya pementasan kali ini boleh dikira berjaya dan sangat bersahaja, enjoy, dan tidak berat (walaupun berat sebenarnya)!


JUE & MEO
Lakonan : Mislina Mustafa & Pekin Ibrahim

Skrip :   Melihat dari tajuknya saja, kita sudah dihidangkan bahawa ini sebuah cerita yang diketengahkan dari sudut kacamata seorang feminisme. Jue & Meo, bukan Meo & Jue seperti tajuk asal karya ini iaitu Romeo dan Juliet. Meletak nama Jue di hadapan dan Meo di belakang tajuk, secara simboliknya sudah menggambarkan bahawa ini sebuah perjuangan feminisme yang jelas. Sekali lagi aku kurang menyenangi karya sebegini, kerana isinya sudah pasti akan menunjukkan bahawa wanita adalah atas segala-galanya. Dan ini terbukti pada permainan di sepanjang naskah ini, walaupun adakalanya terlihat ada sedikit pertikaian dari Meo tentang pendirian Jue, namun diperlihatan pula bahawa Jue akan tetap menang dalam setiap pertikaian dan Meo adalah pesalah. Hal ini juga agak panjang untuk dihuraikan, makanya aku titik kan saja komentar mengenai skrip ini di sini.

Lakonan :   Tidak dinafikan bahawa lakonan Mislina Mustafa memang selalu menjadi penyelamat sesebuah karya. Dan dalam pementasan kali ini, Mislina sekali lagi membuktikannya apabila lakonannya memegang watak Jue dilihat lebih besar dari karya yang dipentaskan, bah kan sering menenggelamkan Pekin Ibrahim yang membawa watak Meo. Manakala Pekin Ibrahim sudah mula mendapatkan sentuhan lakonan di pentas teater, dan ini adalah sebuah perkembangan yang sangat baik bagi karier beliau. Secara peribadinya, aku sangat berterima kasih dengan aksi lakonan kedua pelakon ini pada hari terakhir pementasan malam tadi, kerana ianya lebih memberi impak yang sangat dalam kepada rasa penonton. Cuma aku sedikit resah dengan keselesaan antara watak Meo & Jue yang masih nampak berjarak, tidak seperti sepasang kekasih yang benar-benar bersama selama 500 tahun. Namun aku abaikan hal itu, kerana lakonan mantap mereka malam tadi. Terima kasih buat Mislina Mustafa dan Pekin Ibrahim.

Pementasan :   Aku suka dengan pementasan yang dilakukan, tidak teruja dengan prop yang mewah, namun lebih menekankan daya permainan pelakon di pentas. Berbekalkan 5 kotak, aku sudah dapat menangkap simboliknya dengan cara susun atur serta tempat letaknya. Berlainan dengan penggunaan kotak yang diketengahkan dalam pementasan Kampung Chetek, penggunaan prop Jue & Meo lebih pelbagai dan lebih kreatif, sehingga dapat menggambarkan suasana tempat di mana scene itu berlaku. Tak perlu tangga, tak perlu tali gantung, tak perlu gunung, bah kan tak perlu kayangan untuk menjelaskannya. Ia lebih realistik dan sedar diri, ditambah dengan cara pelakon berkomunikasi dengan penonton yang akhirnya berjaya membawa mereka masuk sebagai pelakon di dalam pementasan itu. Walau pun ianya seperti terkeluar dari maksud pementasan, namun aku menyukainya, kerana meraikan penonton adalah sebuah tanda harga pelakon kepada penonton yang datang. Itu kelebihannya teater marhaen yang tidak akan ada di IB, yang penuh dengan protokol yang menyakitkan. Namun aku tetap ada sedikit kesakitan dengan penataan lampu, yang jelas tidak mampu mengendalikan kelicikan dan kenakalan pelakon yang selalu bertindak keluar dari kotak kongkongan teknik. Jika ianya mampu mengikuti kegilaan pelakon, aku pasti pementasan itu akan lebih menghiburkan dan berkesan. Namun itu tetap aku maafkan, kerana keseluruhannya aku terhibur!


KESIMPULAN

Pementasan teater 'Aku Manusia Berdosa' aku kira sebagai berjaya, walau aku tahu semua yang terlibat menempuh banyak permasalahan yang tidak sepatutnya sepanjang persediaan untuk mementaskan teater 'Kampung Chetek' dan 'Jue & Meo' ini. Terima kasih patut diberi kepada FAISAL MUSTAFFA dan RAT selaku produser yang begitu komited untuk menjayakan pementasan kali ini. Penghargaan juga harus diberi kepada barisan pelakon yang akhirnya terbukti berjaya melakukan 'sesuatu' walau pun kebanyakkan teknik pementasan didapat pada saat genting sebelum pementasan. Aku yang mengikuti perkembangan persediaan sejak dari awal, secara peribadinya berbangga dengan usaha dan kesabaran semua yang terlibat. Persediaan yang penuh tragis, kesabaran yang sungguh hebat, akhirnya membuahkan sebuah pementasan yang berjaya! TAHNIAH!!!


PENEGASAN

Aku tidak ingin memberikan berapa bintang pada pementasan apa pun termasuk pementasan 'Aku Manusia Berdosa' ini kerana aku tidak berminat tentang itu. Namun aku suka tegaskan bahawa aku bukan pejuang kaum Adam atau Hawa, aku lebih selesa berdiri atas nama manusia. Dan aku juga sangat mengormati dan menghargai setiap karya yang berideologi apa pun, kerana itu adalah pemecahan fikiran bagi yang berfikiran terbuka. Perbezaan pendapat dan pandangan itu sangat bagus, namun jangan sampai membawa kepada peredebatan yang tidak sihat sehinga akhirnya merugikan banyak pihak termasuk diri penggiat itu sendiri.



Dari;
Pondok Anak Jawi.
24 Januari 2012.


 

Posted by Unknown

"..DARI SEBUAH RASA.."
..Beratnya Sebuah Perasaan dan Rindu..

...Situasi 3...


Jarak yang memisahkan aku dan Sang Permasuri, tidak sekali-kali pernah dapat memisahkan perasaan antara kami. Dalam kejauhan ini, aku dan Sang Permaisuri tetap memandang bulan yang sama. Merasai perasaan yang serupa. Tatapan yang tak pernah membezakan, begitu lekat dan bulat di dalam perasaan ini. Mewangi, bersinar suci dan terus menyiram perasaan dan rindu yang subur di hati..

Baru semalam Sang Permaisuri menyatakan rindunya. Dan hari ini, aku membalas penyataan yang seumpama itu juga. Namun aku sedikit tersentak dengan sebuah pertanyaan dari Sang Permaisuri, bahawa apakah aku ini benar-benar menyayanginya..? Dan mengapa aku ini menyayanginya dalam sesingkat waktu ini..?

Aku percaya, pertanyaan itu adalah sebuah gambaran tentang keinginannya. Pertanyaan itu juga menggambarkan pertimbangan tentang kesediaannya untuk membuka pintu hatinya kepada ku. Jika pun tidak untuk hari ini, pasti pada suatu saat nanti. Dan sebaiknya biar aku jujur saja dengan perasaan ku. Jujur saja tentang kerinduan ku saat berjauhan dengannya. Biar Sang Permaisuri tahu, bahawa aku ini tidak bermain dengan perasaan kejahilan ku. Tetapi apa yang aku rasakan sekarang, adalah lahir dari sebuah kesedaran yang dalam, yang tak mungkin dapat aku nafikan sejak saat pertama kali aku bertemu dengannya.

Sungguh, siapa pun akan mempersoalkan tentang perasaan ku yang lahir dengan sekejap waktu ini. Namun begitulah yang namanya perasaan, ianya bisa saja terbina dalam jarak masa yang lama, bah kan bisa saja terbina dengan sekelip mata. Kerana perasaan adalah suatu hal yang di luar jangkauan dan kendalian manusia. Ianya adalah anugerah dari Sang Cipta kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya. Dan hakikatnya ia tanpa persoalan. Kerana ianya seperti nafas yang menyelusur masuk ke dalam liang rongga. Manusia yang tanpa perasaan, adalah manusia yang tidak mengecapi nikmatnya sebuah kehidupan.

Ingin saja aku bertanyakan kepada Sang Permaisuri, bagaimanakah perasaannya saat dia berada dekat di sisi ku..? Dan bagaimana pula perasaannya saat dia berada jauh dari ku..? Dan pada perasaan-perasaan itu, apakah ianya hadir dan terbina dalam sejauh jarak waktu..? Tentu saja tidak, kerana perasaan bisa saja hadir dan terbina dalam sekelip mata sesuai dengan apa yang dihadapinya ketika itu juga. Inilah rahsia Kasih dan Sayang yang dikurniakan Tuhan pada setiap manusia. Namun, tidak ramai yang menyedari dan mengambil peduli. Sehingga pada akhirnya, manusia terbelenggu dengan kesakitan, rasa sesak dan terdesak.

Dan aku adalah seorang lelaki yang sangat teruja untuk menikmati dan mengecapi perasaan. Kerana aku sangat percaya, bahawa perasaan yang tidak dinikmat dan dikecapi hanya akan menjadi beban dalam jiwa dan fikir. Pada akhirnya nanti, ia akan mengakibatkan seseorang itu terlepas sebuah peluang untuk menikmati dan mengecapi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Yang akibat dari itu, manusia akan merasa keseorangan dan penuh kesunyian. Lalu apa maknanya kehidupan ini, jika itu yang menyelimuti kehidupannya sehari-hari.

Di subuh ini, ketika Sang Permaisuri sedang karam dalam lena beradu, jemari ku masih segar menari-nari di atas papan huruf untuk menulis dan menyatakan betapa beratnya perasaan dan rindu ini terhadapnya. Biar Sang Permaisuri ku itu tahu, bahawa aku tak akan pernah mempedulikan tentang diri ku demi kebahagiaan dan kesejahteraan kehidupannya. Kerana dia adalah Sang Permaisuri. Sang Permaisuri yang telah bertahta dalam perasaan dan jiwa marhaen ku.

Rindu. Aku tak akan jemu untuk menyirami rindu ini. Aku ingin melihat rindu ini semakin merimbun dalam jiwa ku. Biar aku karam di dalamnya, dan akan aku kecapi sehingga aku tak mempedulikan apa-apa lagi selain dari perasaan ini. Jika suatu saat nanti Sang Permaisuri ingin karam bersama ku, itu adalah anugerah dari Tuhan. Jika tidak, aku akan terus berbahagia dengan apa yang aku rasakan. Kerana rindu ini, tidak semua manusia bisa mendapatkan. Tidak semua manusia bisa merasakannya.

Aku ingin hadir dalam lena beradu Sang Permaisuri ku. Dan aku ingin mendakapnya dengan dakapan syahdu. Agar Sang Permaisuri tahu dan merasakan betapa hangatnya sebuah Kasih Sayang. Agar Sang Permaisuri tahu betapa agungnya sebuah perasaan dan rindu. Dan semua itu dapat ku lihat dari matanya pada saat bertemu. Semua itu dapat ku bacanya saat Sang Permaisuri berada dekat di sisi ku.

Dari kejauhan ini, perasaan dan rindu ini menjadi bukti. Ianya berat untuk ku galas sendiri, namun kemanisannya akan dapat kurasakan saat bertemu nanti.....



...bersambung...