Posted by Unknown

"..DARI SEBUAH RASA.."
..Bila Cinta Menguji Kasih & Sayang..

...Situasi 7...


"..Pergi mampus dengan semua lelaki!!!.."

Runtuh. Runtuh sudah sebuah kepercayaan Sang Permaisuri. Sehingga seluruh kebahagiaan dan kegembiraan yang dikecapi terkubur mati, ternafi bersama sebuah kemarahan yang bangkit dari jantung zahiri. Dunia rasa indah dan damai yang sebelumnya cerah, menjadi mendung dan berwajah duka. Senyuman yang selama ini menghiasi pertemuan, sudah musnah terbakar oleh api amarah. Lebur bersama sebuah tragedi yang tidak terfahami.

Aku membetulkan duduk ku. Melihat Sang Permaisuri masih terbaring dan hanyut dalam kemarahannya. Wajah ku yang sebelum ini sering dikucupi, sudah tidak ingin ditatapnya lagi. Benci sungguh Sang Permaisuri terhadap ku waktu itu. Seluruh kata-kata harapan, cinta, kasih dan sayangnya selama ini juga turut lebur menjadi debu yang menghilang bersama taufan di hatinya.

Kasih sayang. Seluruh kasih sayang berasal dari Cinta. Cinta yang menjadi awal mula kepada segala kejadian yang ada. Awal mula kepada wujudnya kasih sayang itu juga. Namun kasih sayang yang tidak mengenal Cinta, sering tewas oleh ujian Cinta itu sendiri. Kerana Cinta senantiasa menguji kasih dan sayang sebagai peringatan tentang adanya Ia Cinta.

"..Sayang.. Allah mengadakan lelaki dan perempuan bukan untuk saling menang diri, tetapi menggalas rahsia Nurullah dan Nur Muhammad as-sirri.. Mengapa kita manusia tidak ingin memahami dan mengerti..?" bisik hati ku saat itu, menangis dalam rasa.

Kejadian subuh itu, benar-benar telah membunuh hampir seluruh rasa yang selama ini ku tanam di hati Sang Permaisuri. Ujian Cinta yang tidak difahami dan dikenali itulah yang telah membunuhnya. Namun Cinta tetap suci, tidak sekali pernah terpalit oleh cela kasih sayang yang tidak mengenal asalnya. Cinta tetap murni, tidak tersentuh oleh api kasih sayang yang telah terikat dengan warna-warna dunia semata. Kerana Cinta adalah ganti nama bagi Allah buat pejalan masa dan sufi. Bukan seerti dengan kefahaman manusia yang hanya melihat Cinta sebatas keterbatasan dunia ini. Namun, sebelum sempat aku memperkenalkan Cinta itu kepada Sang Permaisuri, gelora itu telah datang. Datang dan merobohkan rasa kebahagiaan yang baru semalam aku dan Sang Permaisuri kecapi.

"..Sayang.. Apa yang Sayang rasa..?" tanya ku waktu pertemuan semalam.

"..Sayang.. Saya rasa bahagia.." terngiang bisik suara Sang Permaisuri yang baru semalam diucapkannya. Namun hari ini, semuanya musnah.

Aku masih terdiam melihat Sang Permaisuri yang terbaring dengan wajah yang mencuka. Ingin sekali aku memeluk Sang Permaisuri agar aku dapat meredakan kemarahan hatinya. Ingin saja aku kucup bibirnya, agar keindahan semalam dapat dinikmati semula. Namun aku tidak mampu. Aku tidak ingin Sang Permaisuri tersalah faham akan maksud ku lagi. Dan aku biarkan saja keadaan itu berlalu buat seketika lagi. Kerana aku harus mencari kekuatan baru untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.

"..Sayang.. Bangun dan duduk depan saya.." kata ku memujuk. Sang Permaisuri tetap diam membisu. Tak mempedulikan saranan ku.

Aku membiarkannya seketika lagi. Dan aku melihat Sang Permaisuri terus karam dalam api kemarahan dan kekecewaannya. Hati ku terluka melihat keadaan itu. Hati ku terluka melihat Sang Permaisuri bersedih hati. Aku bertekad untuk membahagiakannya, namun hari ini Sang Permasuri terhumban dalam rasa derita. Semuanya salah ku. Aku tidak harus menguji hingga sejauh itu. Dalam rasa ku, aku sesali apa yang berlaku. Dan aku berharap Sang Permaisuri memahaminya.

"..Sayang.. Kalau saya salah, saya minta maaf.." suara ku sebagai penyata rasa dalam hati ku.

Sang Permaisuri menjeling tajam pada ku. Aku tahu Sang Permaisuri belum memaafkan ku. Aku tahu Sang Permaisuri kecewa dan merasa benci terhadap diri ku. Aku tahu, aku sang Marhaen ini sebenarnya tiada sedikit harga pun dalam hati Sang Permaisuri di saat itu. Aku tahu dan aku pasti. Aku tahu bahawa Sang Permaisuri masih tersentuh zahirnya tanpa melihat ertinya batin. Dan aku tidak menyalahkan Sang Permaisuri, jauh sekali untuk aku membencinya. Kerana aku tahu, Sang Permaisuri belum mengetahui. "..Namun begitu, sayang......"

"..Apakah kita sudah benar-benar mengerti bahawa kita sedang hidup di dunia Hayyan yang diseliputi oleh seribu satu rasa dunia yang menyesakkan..? Dan apakah kita sudah benar-benar merdeka dari segala rupa belenggu yang menghalang kita, kasih dan sayang ini untuk mengenali Cinta..? Apakah kita sudah mengenal apakah hakikat dari rasa, karsa, cahaya dan jiwa..? Dan Allah telah berfirman, '..Innallaha yak marukum antum abdul amanati ila ahliha..' Justeru apakah kita sudah mengembalikannya..? Apakah sudah kita kembalikan '..Awaluddin makrifatullah..' itu..? Apakah kita sudah mengembalikan '..Al-insanu sirri wa-anna sirruhu..' itu..? Apakah kita sudah mengembalikan '..Wafi anfusikum afala tubsirun..' itu..? Bah kan apakah kita sudah menyempurnakan '..Alastu bi-rabbikum qolu bala syahideina..' itu..?!!.." jerit hati batin ku, yang tak mampu ku nyatakan. Hanya melalui mata ku, aku bicarakannya.

Mengapa..? Kerana aku tidak mendatangi Sang Permaisuri sebagaimana seorang ustaz menghampiri muridnya. Bah kan aku mendatangi Sang Permaisuri dengan Cinta, Kasih dan Sayang pejalan waktu dan sufi. Aku mendatanginya dengan selebar kasih sayang yang berselimut Cinta yang seluas samudera tak bertepi. Dan kerana itu, Sang Permaisuri menganggap ku sebagai sang pemuja Cinta, tanpa dia mengerti bahawa Cinta itu Ada, dan Cinta itulah Allah.

"..Sayang.. Sayang boleh membenci saya.. Sampai bila pun Sayang boleh membenci saya.. Saya tahu dan yakin bahawa Cinta sedang menguji kasih dan sayang saya terhadap Sayang.. Dan kerana itulah saya harus pergi, kerana saya tak mahu Sayang tenggelam dalam ujian Cinta ini.. Saya ingin Sayang bahagia, dan saya tak ingin Sayang merasa derita atau keliru tentang Cinta, sehingga kasih dan sayang Sayang hilang terhadap sesamanya.. Hilang kasih dan sayang terhadap Sang Adam yang menjadi asal mulanya Sang Hawa.. Hilang kasih dan sayang terhadap Cinta yang mengadakan kasih dan sayang kita serta seluruh umat manusia...... Wahai Cinta, Engkaulah saksi apa yang terjadi saat ini.. Dan Engkau tahu bahawa bukan niat ku sejauh itu.." bisik hati ku dalam jerit rayu kepada Sang Cinta Yang Maha Agung.


"..Sayang.. Bangun dan duduk depan saya.." suara lembut ku sekali lagi singgah ke telinga Sang Permaisuri..

Sang Permaisuri bangun dari baringannya. Duduk lemah bersandar ke dinding. Namun matanya masih tidak ingin menatap wajah ku, apa lagi untuk menatap mata ku saat itu. Sang Permaisuri sudah mencampakkan aku jauh dari hatinya. Ya, itulah yang aku rasakan dan itulah yang aku lihat dari dalam matanya saat sekilas lalu Sang Permaisuri menjeling tajam kepada ku.

Sehari penuh, Sang Permaisuri tidak mahu menghubungi ku. Setiap sapaan ku juga tidak dibalasnya. Aku tahu Sang Permaisuri masih marah dan benci. Aku tahu Sang Permaisuri masih keliru dengan apa yang terjadi. Aku ingin menjelaskan semuanya, tapi aku tahu Sang Permaisuri masih belum mampu untuk menerima pengertian Cinta dengan sebenar-benarnya. Dalam Cinta, kebencian dan kemarahan terhapus sama sekali. Kerana dalam Cinta, yang ada hanyalah kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan. Kerana dalam Cinta, keserabutan duniawi tidak akan pernah dapat menembus masuk ke dalam alam larangan. Aku ingin memberikan itu kepada Sang Permaisuri, namun belum sampai waktu. Saat itu ku nantikan, dan kerana itu aku sering menderita dalam kebahagiaan ku.

Malam ini, di tasik saksi. Aku berjalan sendirian tanpa Sang Permaisuri di sisi. Ku jejak segala kenangan bersamanya semalam, dan hari sebelumnya di sini. Syahdu, airmata menjadi peneman ku saat semua ini terjadi. Menangis. Aku berjalan dan menangis sendirian, sambil terus menyebut nama Cinta ku. Sehingga aku rebah dan terduduk diam di atas jambatan di mana Sang Permaisuri pernah mengucup bibir ku.

"..Sayang.. Sayang jangan campak saya dalam tasik tu ya..?" terngiang suara Sang Permaisuri di telinga ku. Aku menoleh, namun tiada Sang Permaisuri di situ. Aku kembali menatap tasik saksi.


"..Tak, saya tak akan campak Sayang.. Saya yang akan terjun dalam tasik tu sehingga lemas ke dasar mati, kalau Sayang ingin membuang saya ke dalam tasik ini.." suara kecil ku. Dan tasik saksi serta alam ini mendengar bicara ku yang satu ini, malam ini, di sini.

Aku ke bibir tasik saksi. Membasuh muka dan seluruh tubuh ku. Kemudian kembali ke jambatan itu, berdiri, rukuk dan bersujud di situ. Subhanallah, Cinta ku datang dalam jiwa ku merawat segala luka dan derita ini. Cinta ku hadir, sehingga tasik saksi dan seluruh taman ini tenggelam tak terupa lagi. Dan di situlah aku berlawan sabda dengan Cinta yang menyuluh cahaya kebahagiaan sehingga menghilangkan segala derita dari taman hati ku.

"..Wahai hamba Ku, janganlah engkau bersedih hati.. Aku lebih mengetahui apa yang tersembunyi, dan Aku selalu berserta orang-orang yang mengagungkan Cinta-Ku.. Sesungguh jika Aku membukakan Cinta-Ku kepada mereka, nescaya mereka akan menyertai mu dan akan setia bersama mu, sebagaimana engkau setia mencintai Aku.." kalam Sang Cinta Agung.

Puas. Puas aku berlawan sabda dengan Sang Cinta. Namun tidak semua dapat aku khabarkannya sebelum masa. Selama masanya belum mengizinkan, aku terima segala derita dalam kehidupan ini. Kerana aku tahu dan meyakini, bahawa Cinta tidak akan pernah mati walau tubuh ku terkujur nanti. Aku tahu bahawa Cinta akan membuatkan aku hidup abadi walau nanti aku sudah meninggalkan dunia ini. Dan di sini, aku harus tersenyum menjalani seluruh penderitaan yang menghalangi Cinta ku ini. Terima kasih Cinta, kerana Engkau hadir mengubat segala luka dan derita ku malam ini.

Saat aku membuka mata ku, cahaya remang pagi sudah menyuluh terang ke dalam mata ku. Dan aku pulang, dengan sebuah kekuatan baru kurniaan Cinta ku. Tasik dan alam ini yang menjadi saksi..... Dan aku ingin sekali agar Sang Permaisuri sama menikmati kebahagiaan ini......


...bersambung...

This entry was posted on Khamis, 2 Februari 2012 at 9:02 PTG . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan